MOHAMED Khaled Nordin. FOTO arkib Bernama
MOHAMED Khaled Nordin. FOTO arkib Bernama
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Menteri Pertahanan yang baharu dilantik, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mempunyai tiga cabaran utama untuk diselesaikan olehnya.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Profesor Madya Dr S Ananthan berkata, cabaran pertama yang bakal dihadapi adalah bagi meningkatkan bajet Kementerian Pertahanan (Mindef).

Beliau berkata, ini kerana bajet satu peratus diperolehi oleh Mindef pada masa ini tidak cukup untuk pertahanan.

"Satu peratus daripada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) memang tak cukup untuk pertahanan. Sekurang-kurangnya (bajet perlu) naik ke 1.5 peratus.

"Mungkin ke RM30 bilion, baru Menteri Pertahanan dapat menggerakkan perbelanjaan pertahanan untuk menggantikan aset-aset usang," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, cabaran yang kedua adalah dengan menyemak semula Kertas Putih Pertahanan agar ia relevan dengan perubahan masa kini.

"Dalam Kertas Putih Pertahanan, ada disebut Rancangan Pelan Pelaburan Pertahanan dan Rancangan Tindakan Kapasiti. Dua perkara ini perlu diteliti disebabkan Kertas Putih ini dikeluarkan pada tahun 2020.

"Sekarang ini sudah tiga tahun berjalan, boleh buat semakan pertengahan penggal.

"Kertas putih ini sebaik-baiknya lima tahun sekali. Contohnya macam negara lain lima tahun sekali, akan semak balik. Semakan ini akan menunjukkan bahawa di mana kita ketinggalan dan tidak dapat mencapai apa yang digariskan (dalam) pembangunan tahun demi tahun," katanya.

Cabaran yang ketiga katanya, adalah dalam mengatasi isu tuntutan veteran yang tidak berpencen dan berpencen sebelum tahun 2013.

"Siapa yang pencen selepas 2013, akan menikmati kadar yang baru. Apa jadi kepada veteran yang pencen pada tahun 70-an dan 80-an? Mereka ini macam ketinggalan daripada segi pelarasan pencen pada 2013.

"Katalah pencen Mejar dulu dapat RM1,500. Jumlah RM1,500 sampai sekarang tetapi sekarang ini, pencen Mejar dapat RM5,500. Jauh (perbezaannya) itu," katanya.

Sementara itu, pakar pertahanan dan geostrategik, Muhammad Fuad Mat Noor pula berpandangan cabaran utama Mohamed Khaled adalah bagi mengubah cara kerja, tatalaku dan tatakelola penjawat awam dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya, sekiranya menteri ditukar banyak kali, tetapi 'orang bawahan' masih lagi sama, ia tidak akan merubah keadaan mengambil contoh isu membabitkan kontrak penerimaan aset yang lewat.

"Tukar menteri pun, menteri tak ada setiap hari dalam ATM. Menteri hanya pembuat dasar. Yang ada setiap hari ini ialah penjawat awam terutamanya bahagian perolehan, bahagian uji kaji (dan) bahagian pentadbiran yang membuat kontrak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2023 @ 12:55 PM