CHANG Moi Lin (kanan) menangis ketika sidang media kerana terlaku merindui anak lelakinya, Chin Kim Choy yang kali terakhir bertemu pada 2017. FOTO Asrol Awang
CHANG Moi Lin (kanan) menangis ketika sidang media kerana terlaku merindui anak lelakinya, Chin Kim Choy yang kali terakhir bertemu pada 2017. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang

Kuantan: Seorang warga emas berusia 67 tahun meluahkan kebimbangan mengenai anak lelakinya yang mungkin menjadi sindiket pemerdagangan manusia.

Chang Moi Lin berkata, kali terakhir berhubung dengan anak bongsu daripada empat beradik, Chin Kim Choy, 40 yang bekerja di Singapura itu pada 2017.

Katanya, sepanjang enam tahun itu, tiada sebarang khabar berita mengenai Kim Choy bukan sahaja nombor telefon gagal dihubungi, malah menerusi media sosial Facebook.

"Dua anak saya yang juga abang Kim Choy ada mencarinya di restoran iaitu tempat kerja tetapi dia tidak lagi bekerja di situ.

"Disebabkan banyak kes yang membabitkan sindiket pemerdagangan manusia, saya membuat laporan di sini pada 2 Disember lalu dan laporan turut dibuat Singapura Julai tahun lalu.

"Namun, sehingga kini tiada sebarang maklumat yang diterima tetapi saya dimaklumkan anak tidak pernah keluar dari Singapura.

"Kali terakhir bertemu dengan anak pada Tahun Baru Cina 2017 dan selepas itu tidak lagi berhubung kerana nombor telefon dan akaun Facebook disekat," katanya.

Moi Lin ditemui pada sidang media di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Semambu, di sini, hari ini.

Hadir sama, ADUN Semambu, Chan Chun Kuang dan Pegawai Perhubungan Awam Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO), Daniel Khoo.

Sebagai ibu, Moi Lin terlalu merindui anak bongsunya itu dan berharap orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi di talian 016-6263125.

"Saya harap dia berada dalam keadaan selamat," katanya.

Sementara itu, Chun Kuang berkata, pihaknya sedang berusaha untuk membantu menjejaki Kim Choy dengan kerjasama MHO.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2023 @ 1:27 PM