Wong (kiri) menunjukkan laporan polis selepas adiknya dipercayai menjadi sindiket pemerdagangan. FOTO Asrol Awang
Wong (kiri) menunjukkan laporan polis selepas adiknya dipercayai menjadi sindiket pemerdagangan. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang

Kuantan: Terpedaya tawaran kerja khidmat pelanggan dengan gaji lumayan di negara jiran, seorang ibu tunggal dari Raub menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia ke Myanmar.

Lebih malang apabila keluarganya diarahkan untuk sebanyak membayar RM17,000 untuk membebaskannya.

Abang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Wong berkata, pada awalnya ibu tunggal berkenaan memaklumkan dapat kerja di Johor.

"Dia dikatakan berkenalan dengan seorang individu di Facebook pada September tahun lalu sebelum datang menjemput adik di Raub untuk bekerja di Johor.

"Selepas itu keluarga kami tidak dapat menghubunginya dan bertanyakan kepada rakannya.

"Pada November lalu, seorang rakannya memberitahu kami bahawa adik saya menerima tawaran kerja khidmat pelanggan di Thailand tetapi akhirnya menjadi mangsa penipuan pekerjaan di Myanmar.

"Pada 23 Disember lalu, dia menghantar mesej kepada kakak sulung melalui Facebook Messenger dan memaklumkan dia berada di Myanmar dan perlu membayar RM17,000 jika mahu pulang ke Malaysia," katanya.

Wong berkata demikian ketika sidang media di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Semambu di sini, hari ini.

Hadir sama Adun Semambu Chan Chun Kuang dan Pegawai Perhubungan Awam Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) Daniel Khoo.

Dia berkata, adiknya menghantar mesej di Facebook Messenger kepada keluarga sebanyak empat kali dan kali terakhir adalah pada 21 Januari lalu.

"Kali pertama adik saya hantar mesej pada Disember lalu memaklumkan perlu membayar RM20,000 kepada sindiket untuk membebaskannya.

"Beberapa hari kemudian, dia hantar mesej lagi dan memaklumkan hanya akan dibenarkan pulang ke Malaysia selepas bekerja di Myanmar bagi tempoh setahun.

"Pada kali ketiga dan keempat, dia maklumkan perlu membayar RM17,000 supaya boleh pulang ke Malaysia.

"Adik maklum dia ditipu untuk mempercayai tawaran kerja perkhidmatan pelanggan dengan gaji kira-kira RM5,000 di Thailand tetapi akhirnya dibawa sindiket ke Myanmar," katanya.

Ditanya sama ada keluarga bersedia membayar RM17,000, Wong berkata, keluarganya tidak mampu membayar jumlah itu kerana bimbang sindiket itu tidak akan membebaskan kakaknya selepas membayar sebaliknya menuntut bayaran lagi selepas itu.

"Saya cuma mahu adik saya dibawa pulang dengan selamat. Ibu bapa dan anak perempuannya bimbang memikirkan dia," katanya.

Sementara itu, Daniel Khoo berkata, pihaknya akan menghubungi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Myanmar untuk mengesan mangsa.

"Usaha membawa pulang mangsa hanya boleh dilakukan selepas dapat mengenal pasti lokasi mangsa berada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 4:13 PM