Anggota bomba bersama penduduk kampung melakukan pencarian kereta Proton Persona di sungai Jambatan Pantai Cicar, Kuala Ketil. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Anggota bomba bersama penduduk kampung melakukan pencarian kereta Proton Persona di sungai Jambatan Pantai Cicar, Kuala Ketil. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


Baling: Polis masih menjalankan siasatan berhubung kemalangan yang menyebabkan tiga beranak meninggal dunia selepas Proton Persona yang dinaiki mereka terbabas dan terjunam ke dalam sungai di Jambatan Syed Omar, Jalan Sungai Petani -Baling, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Shamsudin Mamat berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan itu berlaku pada 6.30 petang semalam yang membabitkan sebuah Proton Persona dari arah Kuala Ketil menghala ke arah Sungai Petani.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan itu dipercayai hilang kawalan ke kiri jalan dan terbabas lalu jatuh ke dalam Sungai Muda sempadan Baling dan Sungai Petani.

"Kesemua mangsa ditemukan berada di dalam kereta yang tenggelam dalam sungai berkenaan dan kesemua mereka dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shamsudin berkata, mangsa yang meninggal dunia disahkan sebagai Masyitoh Ibrahim, 37, guru agama Sekolah Kebangsaan Kampung Selarong, manakala dua anaknya, Mohd Ziyad Zikri Sharudin, 7, dan Mohd Ziyad Haziq, 5.

Katanya, kedua-dua murid berkenaan masih belajar di prasekolah dan di tahun satu sekolah sama.

"Mayat ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat dan bedah siasat akan dilakukan selepas memperoleh keputusan ujian Covid-19," katanya.

Beliau berkata, kereta Proton Persona itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Baling untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihaknya sedang mengesan saksi kejadian itu untuk membantu siasatan," katanya.

Dalam kejadian petang semalam, sebuah kereta Proton Persona yang dinaiki tiga beranak itu terbabas dan terjunam ke dalam sungai di Jambatan Pantai Cicar, Kuala Ketil.

Berita berkaitan

Tiga beranak ditemukan lemas dalam sungai

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2022 @ 8:43 AM