(PERHILITAN) Selangor memasang kamera perangkap di beberapa lokasi seluruh Selangor susulan aduan kehadiran harimau belang. FOTO ihsan PERHILITAN SELANGOR
(PERHILITAN) Selangor memasang kamera perangkap di beberapa lokasi seluruh Selangor susulan aduan kehadiran harimau belang. FOTO ihsan PERHILITAN SELANGOR
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor sudah memasang kamera perangkap di beberapa lokasi di seluruh negeri ini susulan aduan kehadiran harimau belang di Hulu Selangor, Ogos lalu.

Pengarahnya, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh berkata, walaupun tiada rekod tangkapan, pihaknya membuat pemantauan teliti secara berterusan sehingga kini.

"Selain pemasangan kamera perangkap dan rondaan, kami juga melakukan rondaan pencegahan jenayah hidupan liar menerusi program Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dan Renjer Komuniti BP3," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Untuk rekod, pada Ogos lalu, Perhilitan Selangor menerima aduan awam berkaitan harimau belang menerusi laporan polis.

Dalam perkembangan sama, Wan Mohd Adib berkata, selain Selangor, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu turut memiliki sejumlah harimau belang.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya menjauhkan diri dan segera beredar sekiranya menyedari kehadiran harimau belang dan haiwan liar lain seperti harimau kumbang dan harimau dahan.

"Elakkan memasuki kawasan hutan bersendirian dan sekiranya bertembung dengan spesies ini, dilarang membuat tindakan memprovokasi hidupan liar terbabit yang boleh menyebabkan ia berasa terancam, seterusnya berisiko untuk menyerang manusia.

"Hubungi Perhilitan di talian 1800-88-5151 sekiranya terserempak dengan haiwan terbabit.

"Jangan ambil tindakan sendiri sebagai langkah keselamatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2023 @ 1:56 PM