KAKITANGAN Perhilitan melakukan pemeriksaan di sekitar kawasan Kilometer 18 Jalan Batang Kali-Genting Highlands susulan dakwaan kehadiran seekor harimau belang, hari ini. FOTO Perhilitan Selangor
KAKITANGAN Perhilitan melakukan pemeriksaan di sekitar kawasan Kilometer 18 Jalan Batang Kali-Genting Highlands susulan dakwaan kehadiran seekor harimau belang, hari ini. FOTO Perhilitan Selangor
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor memasang kamera perangkap bagi mengesan harimau belang yang didakwa berada di Kilometer 18 Jalan Batang Kali-Genting Highlands, di sini, hari ini.

Ia susulan seorang anggota polis bantuan berusia 56 tahun membuat laporan yang mendakwa melihat haiwan liar itu jam 5.30 pagi, semasa dalam perjalanan ke tempat kerja.

Pengarah Perhilitan Selangor, Dennis Ten Choon Yung berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Balai Polis Gohtong Jaya berhubung kejadian itu jam 8.14 pagi.

"Kakitangan kami kemudian tiba di lokasi dan melakukan pemeriksaan awal.

"Siasatan mendapati kesan kehadiran harimau tidak dapat dikenal pasti kerana faktor muka bumi yang padat dan daun-daun pokok tebal daripada jenis Akasia," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dennis berkata, kamera perangkap yang dipasang pihaknya bertujuan untuk mengesahkan kehadiran haiwan liar itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, polis turut bekerjasama dengan Jabatan Perhilitan daerah Hulu Selangor untuk membantu usaha mengesan harimau belang terbabit.

"Orang ramai diingatkan agar berhati-hati semasa melakukan sebarang aktiviti di kawasan itu.

"Sekiranya mempunyai maklumat penemuan harimau belang itu, sila hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor di talian 03-60641222," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2023 @ 7:45 PM