Petugas SPR membuat persiapan undi di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi PRK Kemaman di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman di Chukai, Kemaman, hari ini. FOTO ROHANIS SHUKRI
Petugas SPR membuat persiapan undi di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi PRK Kemaman di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman di Chukai, Kemaman, hari ini. FOTO ROHANIS SHUKRI
Zatul Iffah Zolkiply dan Noor Atiqah Sulaiman


Chukai: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman esok adalah 70 peratus.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata jumlah itu berdasarkan trend keluar mengundi dalam PRK dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

Katanya, peratusan itu juga mengambil kira ramalan cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bahawa Kemaman akan hujan berterusan pada hari pengundian.

"Harap pengundi di Kemaman dapat keluar mengundi dan berharap peratus keluar mengundi dapat ditingkatkan kepada 70 peratus.

"Jangkaan ini berdasarkan trend pilihan raya yang terdahulu," katanya kepada pemberita selepas meninjau Pusat Penjumlahan Rasmi Undi bagi PRK Kemaman, di Majlis Perbandaran Kemaman, di sini hari ini.

PRK Kemaman yang ditetapkan esok sebagai hari mengundi menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS.

Pilihan raya itu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Dalam pada itu, Abdul Ghani berkata sebanyak 49 pusat mengundi dengan 244 saluran disediakan di empat DUN sempena PRK Kemaman.

Mengenai keputusan PRK berkenaan, Abdul Ghani berkata ia akan diperoleh selewat-lewatnya jam 9 malam.

"Jangkaan keputusan adalah awal, kerana kita kini menggunakan sistem baharu, namun seperti kebiasaan kita perlu menunggu keseluruhan peti undi dari seluruh pusat mengundi dan jangka selesai pada jam 9 malam, "katanya.

Sementara itu, Abdul Ghani turut berpesan kepada pengundi untuk membawa kad pengenalan masing-masing bagi memudahkan proses pengundian dilakukan.

"Selain itu keluarlah mengundi pada masa yang digalakkan. Saya juga menasihatkan sama ada kepada calon atau pengundi dan penyokong parti supaya tidak memakai baju atau topi berlogo parti.

"Pakailah pakaian biasa yang sopan serta mengikut arahan yang sudah dinyatakan sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2023 @ 12:20 PM