Pengundi menunggu giliran untuk mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Bintulu hari ini. FOTO BERNAMA
Pengundi menunggu giliran untuk mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Bintulu hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Bintulu: Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Jepak mencatatkan 29 peratus setakat 11 pagi ini, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Tinjauan Bernama mendapati proses pengundian di 14 pusat mengundi yang dibuka sejak 7.30 pagi tadi berjalan lancar dalam keadaan cuaca yang baik.

Sebanyak 11 pusat pengundian akan ditutup pada 5.30 petang ini, manakala tiga lagi pada 4 petang.

Proses penjumlahan rasmi undi akan dilakukan di Dewan Suarah, di sini.

Jumlah keseluruhan pengundi di Dun itu ialah 22,804 orang terdiri daripada 22,761 pengundi biasa dan 43 anggota polis.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh turut meninjau proses pengundian di Sekolah Kebangsaan Kampung Jepak pada 8.50 pagi.

Abdul Ghani sebelum ini menjangkakan peratusan keluar mengundi pada PRK itu mencapai 65 peratus dengan keputusan dijangka diketahui pada 9 malam ini.

Sementara itu, laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Bintulu meramalkan ribut petir melanda beberapa kawasan pada sebelah petang manakala hujan di beberapa tempat pada sebelah malam.

PRK Dun Jepak menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Iskandar Turkee, calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang dan calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Chieng Lea Phing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2023 @ 1:16 PM