Pengarah Kastam Negeri Sembilan, Mohamad Hafiz Ishak (tengah) menunjukkan rokok tidak sah yang dirampas pada sidang media Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan menumpaskan cubaan pengedaran rokok tidak sah di Bahagian Penguatkuasaan dan Pematuhan JKDM Negeri Sembilan. FOTO AZRUL EDHAM
Pengarah Kastam Negeri Sembilan, Mohamad Hafiz Ishak (tengah) menunjukkan rokok tidak sah yang dirampas pada sidang media Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan menumpaskan cubaan pengedaran rokok tidak sah di Bahagian Penguatkuasaan dan Pematuhan JKDM Negeri Sembilan. FOTO AZRUL EDHAM
Ahmad Hasbi


Seremban: Taktik menggunakan label cukai palsu pada rokok seludup untuk mengelak dikesan pihak berkuasa tidak menjadi apabila kegiatan sindiket itu dipatahkan dalam dua operasi membabitkan nilai cukai hampir RM5 juta.

Taktik itu dikesan selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menahan dua lori masing-masing dipandu lelaki tempatan berusia 30-an pada 15 November lalu di dua lokasi di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus).

Pengarah JKDM Negeri Sembilan, Mohammad Hafiz Ishak berkata, pada tangkapan pertama jam 1.30 tengah hari, pihaknya menahan sebuah lori di Kilometer 441.5 Lebuhraya Plus arah selatan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan menemui 298 peti berisi 14,900 karton rokok yang mempunyai label cukai palsu.

"Pada jam 4.30 petang hari sama, kami menahan sebuah lori di Kilometer 342.2 Lebuhraya Plus arah selatan. Kedua-dua pemandu lori ditahan bagi membantu siasatan.

"Hasil pemeriksaan menjumpai 353 peti dengan 17,650 karton rokok didapati tiada label cukai. Kedua-dua kes didapati melakukan kesalahan Larangan Import Di Bawah Butiran 3, Bahagian II, Jadual Ketiga Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023," katanya sidang akhbar di JKDM Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, jumlah nilai sitaan rokok bagi kedua-dua kes dianggarkan sebanyak RM556,100 dengan nilai cukai dianggarkan hampir RM5 juta.

"Sindiket menggunakan label cukai palsu pada rokok dengan niat mengaburi mata pihak penguat kuasa dan kenderaan seperti lori kanvas bagi tujuan mengedarkan rokok ini ke pasaran tempatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(a) Akta Eksais 1976," katanya.

Justeru katanya, orang awam digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti itu.

"Penyeludupan bukan saja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2023 @ 1:34 PM