TEO Nie Ching pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri sempena Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
TEO Nie Ching pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri sempena Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Kerajaan tidak bercadang untuk memindahkan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) yang kini berada di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) ke Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).

Timbalan Menteri KKD, Teo Nie Ching berkata, kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim masih mengekalkan keputusan meletakkan J-Kom di bawah JPM.

"Setakat ini, keputusan kerajaan perpaduan adalah J-Kom masih kekal di bawah JPM.

"Sekiranya pada masa akan datang Perdana Menteri berhasrat untuk memindahkan semula J-Kom ke KKD, KKD akan ikut arahan," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai keperluan J-Kom diletakkan di bawah KKD bagi mengelakkan pembaziran wang rakyat dan pertindihan tugas dalam meningkatkan tadbir urus yang baik.

Mengulas lanjut, Nie Ching memaklumkan, keputusan untuk memindahkan J-Kom ke JPM sudah dibuat pada 2021 iaitu semasa Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjawat jawatan Perdana Menteri.

"Masa itu Pagoh masih merupakan Perdana Menteri dan Indera Mahkota (Datuk Seri Saifuddin Abdullah) Menteri (Komunikasi dan Multimedia) masa itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2023 @ 3:55 PM