Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Ketua Penerangan Parti Pribumi Malaysia (Bersatu), Senator Datuk Razali Idris didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menghasut keputusan institusi kehakiman serta memfitnah badan kerajaan.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal berusia 57 tahun itu tidak mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.

"Saya mengaku tidak bersalah dan bersedia untuk dibicarakan," katanya.

Mengikut pertuduhan, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu itu didakwa menyebut perkataan menghasut dan mempertikaikan keputusan institusi kehakiman di Padang Astaka Chukai, Kemaman, Terengganu antara 9.30 malam hingga 11.30 malam, 10 November lalu.

Pendakwaan mengikut Perenggan 4(1) (b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Datin Kalmizah Salleh dan Timbalan Pendakwa Raya Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal.

RAZALI (dua kiri) tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta. FOTO Aswadi Alias
RAZALI (dua kiri) tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta. FOTO Aswadi Alias

Pada 15 November lalu, SPRM membuat laporan polis terhadap tuduhan palsu didakwa dikeluarkan Razali.

SPRM menerusi kenyataan memaklumkan, laporan terbabit dibuat susulan satu hantaran dalam aplikasi TikTok di atas nama pemilik akaun @wancin11 yang memaparkan kenyataan Razali itu.

Dalam hantaran berkenaan, Razali didakwa mengeluarkan beberapa tuduhan palsu dalam ceramah beliau sewaktu majlis pelancaran jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 10 November lalu.

Beliau menyatakan bahawa jentera kerajaan, SPRM dan hakim dikawal oleh kerajaan serta mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung sabitan empat pertuduhan ke atas bekas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2023 @ 10:55 AM