(DARI kiri) Syaiful Rizal bersama Wan Hashim, Roseline, Mohd Fadzil dan Levus. FOTO ihsan YBR
(DARI kiri) Syaiful Rizal bersama Wan Hashim, Roseline, Mohd Fadzil dan Levus. FOTO ihsan YBR
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Yayasan Bank Rakyat (YBR) meneruskan usaha murni dengan menyalurkan bantuan berjumlah RM100,000 kepada penuntut Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Bantuan Awal Pengajian (BAP) itu disalurkan kepada 100 penuntut Diploma dan Ijazah Sarjana Muda semester satu hingga tiga dalam usaha membantu mereka yang kurang berkemampuan bagi meneruskan pengajian.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR Rosaline Neging berkata, pihaknya sentiasa cakna kepada golongan memerlukan untuk mendapat kualiti pendidikan sama rata.

"Setiap penuntut yang menerima insentif kewangan itu boleh menggunakannya untuk membeli kelengkapan pembelajaran yang masih belum mencukupi.

"Pemberian insentif ini diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu mereka meneruskan sesi pengajian dan secara tidak langsung memberi semangat dan motivasi untuk mendapat keputusan cemerlang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Perasmian Serambi Ilmu Rakyat (SIR) Corner dan penyerahan replika cek BAP di sini, hari ini.

Turut hadir Penolong Naib Canselor (Kepimpinan dan Pembangunan) Unimas, Prof Datu Mohd Fadzil Abdul Rahman, Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani, Ketua pegawai Digital Unimas Prof Dr Wan Hashim Wan Ibrahim dan Pengarah Perpustakaan Tun Abdul Rahman Ya'Kub (PeTARY) Levas Anak Mejus.

Rosaline berkata, YBR melalui Perpustakaan Digital Serambi Ilmu Rakyat (SIR Corner) turut menyumbangkan set kelengkapan kepada Perpustakaan Tun Abdul Rahman Ya'kub (PeTARY) dengan matlamat membantu penuntut mendapatkan maklumatterkini serta bahan bacaan ilmiah secara digital.

"Inisiatif memartabatkan mutu pendidikan seharusnya diberi penekanan melalui suasana pembelajaran di universiti dengan sumber mencukupi serta mudah mengakses maklumat.

"YBR mengambil langkah bekerjasama dengan Unimas mewujudkan satu sudut bacaan digital iaitu 'SIR Corner' sekali gus menjadikan universiti awam berkenaan sebagai universiti pertama di Sarawak mempunyai sudut bacaan itu," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, YBR juga memperuntukkan RM350,000 setiap tahun untuk langganan dan pangkalan data bahan digital SIR daripada pihak pembekal.

Katanya, usaha terbabit bertujuan menggalakkan tabiat membaca di kalangan pelajar dan masyarakat keseluruhannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 5:18 PM