Air sungai cetek pada sebahagian laluan perjalanan menyebabkan guru-guru SK Sungai Tiang perlu turun dan menolak bot sebelum dapat menyambung kembali perjalanan ke sekolah. FOTO IHSAN AHMAD ADNAN MOHD SHUKRI
Air sungai cetek pada sebahagian laluan perjalanan menyebabkan guru-guru SK Sungai Tiang perlu turun dan menolak bot sebelum dapat menyambung kembali perjalanan ke sekolah. FOTO IHSAN AHMAD ADNAN MOHD SHUKRI
Oleh Muhamad Lokman Khairi


Gerik: Demi anak bangsa, Guru Cemerlang Pendidikan Sains, Ahmad Adnan Mohd Shukri tidak menghiraukan cabaran meredah perjalanan sukar ke sekolah pedalaman sejak mula bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiang, Royal Belum, di sini, pada 2015.

Berkongsi cabaran menunaikan tanggungjawab mulia itu, Ahmad Adnan, 32, berkata, satu-satunya laluan ke sekolah adalah merentasi Sungai Perak dan Tasik Banding yang perjalanannya memakan masa kira-kiranya satu jam menaiki bot dari Jeti Awam Pulau Banding.

Bagaimanapun, menurutnya, cabaran sebenar adalah ketika air tasik terpaksa disurutkan beberapa kali dalam setahun sebagai langkah kawalan untuk mengelakkan Empangan Temenggor pecah dan mampu menampung sejumlah air ketika musim tengkujuh.

Pada ketika itu, sebahagian kawasan tasik yang menjadi laluan bot untuk ke sekolah menjadi cetek dan menghalang bot tiba ke jeti berdekatan sekolah dengan lancar seperti kebiasaan.

"Apabila air tasik kering, guru-guru terpaksa berjalan kaki kira-kira dua kilometer, ada kalanya berjalan di tebing serta dalam lumpur atau air sambil menolak bot.

"Perjalanan dari Jeti Awam Pulau Banding (Jeti Amanjaya) ke SK Sungai Tiang dengan bot yang sepatutnya memakan masa kira-kira sejam perjalanan menjadi tiga jam 30 minit ketika air surut.

"Berjalan kaki bukan hanya melenggang dengan membawa diri semata-mata, setiap guru perlu mengangkut bersama barang-barang keperluan harian yang lain terutamanya barang-barang memasak seperti ayam (16 ekor), gula (5kg), susu (10 tin), beras (20kg), sotong, udang, dan barang-barang kering yang lain untuk makan selama lima hari bagi 17 orang kakitangan sekolah," katanya memaklumkan guru bergilir-gilir memasak kerana tiada kantin.

Kongsinya lagi, cabaran lain adalah bagi mendapatkan bekalan air bersih di mana setiap hari air dari tasik dipam untuk tujuan memasak, minuman dan membersihkan diri selain tiada talian telefon menyukarkan mereka mendapatkan khabar berita dari luar terutamanya kes kecemasan.

"Capaian Internet hanya diperoleh dari pencawang internet yang disediakan untuk penduduk kampung.

"Guru cuma memperoleh capaian internet yang sangat lemah ketika berada di pagar sekolah sahaja, manakala tiada capaian internet di dalam kawasan sekolah.

"Akibatnya sebarang bentuk mesyuarat atau bengkel yang dilaksanakan secara atas talian tidak dapat dihadiri," katanya.

Ahmad Adnan berkata, sumber tenaga utama bagi bekalan elektrik di penempatan guru diperoleh daripada panel solar dan generator sebagai, namun kerosakan yang berlaku sejak beberapa bulan lalu menyebabkan guru terpaksa berpanas pada sesetengah waktu.

Ahmad Adnan membawa murid Orang Asli suku Jahai dari SK Sungai Tiang lawatan sambil belajar ke Petrosains Kuala Lumpur. FOTO IHSAN AHMAD ADNAN MOHD SHUKRI
Ahmad Adnan membawa murid Orang Asli suku Jahai dari SK Sungai Tiang lawatan sambil belajar ke Petrosains Kuala Lumpur. FOTO IHSAN AHMAD ADNAN MOHD SHUKRI

"Generator akan dihidupkan setiap hari bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah hari. Seterusnya, generator ditutup untuk 'rehat' hingga jam 7malam.

"Generator dihidupkan sekali lagi jam 7 malam hingga 12 tengah malam. Setelah itu, generator dimatikan semula hingga ke pagi. Beginilah rutinnya setiap hari," katanya.

Walau demikian, kepayahan serta kesulitan terbabit tidak mematahkan semangat apatah lagi keikhlasan guru SK Sungai Tiang itu menggalas tanggungjawab mendidik 150 murid Orang Asli di pedalaman selain menyahut seruan menjayakan flagship Santuni Orang Asli yang digariskan oleh Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dalam pelan Perak Sejahtera 2030.

Melalui pelan berkenaan, Jabatan Pendidikan Negeri memainkan peranan sebagai antara peneraju yang bermatlamat kepada pembangunan dan kesejahteraan masyarakat Orang Asli di Perak.

Ahmad Adnan, bukan guru biasa-biasa, sumbangannya mendidik murid Orang Asli subetnik Negrito suku Jahai di SK Sungai Tiang, diiktiraf Kementerian Pendidikan (KPM) apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Pendidikan Guru Gigih Pedalaman sempena Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2023.

Anugerah itu sememangnya layak diterima anak jati Pengkalan Hulu itu memandangkan pelibatan beliau dalam dunia pendidikan sains yang menyeluruh meliputi aspek kompetensi iaitu pengetahuan dan kemahiran di pelbagai peringkat bermula dari sekolah, zon, daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 7:11 AM