TERTUDUH berada di luar Mahkamah Majistret Muar selepas didenda kerana merusuh menggunakan pedang samurai. FOTO Alias Abd Rani
TERTUDUH berada di luar Mahkamah Majistret Muar selepas didenda kerana merusuh menggunakan pedang samurai. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani

Muar: Sekumpulan terdiri sembilan lelaki termasuk seorang penternak lembu mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan terbabit dalam kejadian merusuh bersenjatakan pedang samurai di Sungai Abong, awal bulan ini.

Mereka ialah S Vikneshwaran, 34, Tiew Soon Cheng, 58, Yee Wee Keat, 28, Richard Tey Rui Kiat, 22, Goh Hong Jun, 19, Peng Wei Siang, 21, Tan Wei Chuan, 29, Chan Kok Siang, 35, dan Lau Chung Kiat, 29, manakala seorang tertuduh, Cheow V-Chun, 28, tidak hadir.

Kesemua mereka membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibaca bersama oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid.

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh didakwa bersenjatakan objek tajam, merusuh dalam kejadian berdekatan sebuah kopitiam, Jalan Marin, Sungai Abong, di sini, antara 11.30 malam hingga 1 pagi, 8 Oktober lalu.

Berikutan itu, semua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman didenda RM3,000 setiap seorang manakala, Chan didenda RM2,500.

Semua tertuduh diarah menjalani hukuman penjara tiga dan lima bulan jika gagal membayarnya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Arif Marzuki manakala tertuduh diwakili R K Bala.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2023 @ 5:10 PM