GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) menubuhkan Tabung Rahmah Madani (TRM) di masjid-masjid di ibu negara bagi menyalurkan sumbangan segera kepada golongan asnaf yang memerlukan bantuan kecemasan.

Jawi pada kenyataan hari ini, memaklumkan, agihan peruntukan menerusi keseluruhan dana sumbangan Maiwp berjumlah RM2.06 juta itu disalurkan kepada 40 masjid meliputi enam zon di sekitar Kuala Lumpur.

"Keutamaan bantuan diberikan kepada penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan warganegara Malaysia, pemohon yang terputus perbelanjaan sara hidup serta kes-kes tertentu yang difikirkan sesuai untuk dipertimbangkan.

"Kekerapan bagi seseorang menerima bantuan kecemasan pula dipertimbangkan dua kali dalam tempoh setahun dengan kadar maksimum RM200 bagi setiap permohonan sebagaimana dinyatakan dalam prosedur operasi standard (SOP) TRM," katanya.

Jawi turut memaklumkan, TRM juga diperluaskan bagi tujuan pembayaran elaun di bawah Program Khidmat Asnaf dengan memberi peluang pekerjaan kepada dua asnaf di 40 masjid terpilih untuk menjalankan perkhidmatan sosial seperti pembersihan dan kerja-kerja kebajikan di masjid.

"Kadar elaun yang ditetapkan adalah RM50 sehari bagi tempoh empat jam bekerja dan tidak melebihi 15 hari sebulan," katanya.

Menurut kenyataan, inisiatif penubuhan TRM adalah sebahagian daripada usaha untuk mempergiatkan lagi bantuan kepada golongan memerlukan berpusatkan masjid selaras dengan teras Kesejahteraan Insan yang terkandung dalam agenda Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia Madani (Al-Falah) dan Pelan Pengimarahan Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan 2021-2024.

Jawi juga menyarankan supaya institusi masjid menjadi tempat agihan dana dan sumbangan kepada masyarakat memerlukan, sekali gus menarik masyarakat untuk mendekati institusi itu sebagaimana kejayaan program kebajikan sebelum ini seperti Gerobok Rezeki Masjid, Iftar Rahmah Ramadan dan Jawi Food Bank.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2023 @ 4:56 PM