MASJID Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. FOTO Arkib NSTP
MASJID Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. FOTO Arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dengan kerjasama pelbagai rakan strategik akan menganjurkan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan Khamis ini.

Pengarahnya, Mohd Ajib Ismail berkata, bertemakan Ummah Rabbani Negara Harmoni ia akan diadakan di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur jam 8.30 pagi.

Katanya, majlis berkenaan dijangka dihadiri 250 jemputan dan akan dilaksanakan berdasarkan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ditetapkan kerajaan.

"Sambutan Maal Hijrah dalam situasi norma baharu pada tahun ini tidak menghalang masyarakat daripada memperingati dan mengambil iktibar peristiwa hijrah yang menjadi permulaan penting penyebaran syiar Islam ke seluruh alam.

"Di antara pengisian majlis sambutan adalah Ceramah Khas Maal Hijrah oleh Mufti Wilayah Persekutuan, penyampaian Anugerah Tokoh Utama dan Anugerah Khas Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan dan Pelancaran Pelan Pengimarahan Masjid-Masjid di Wilayah Persekutuan. Perasmian majlis akan disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2020 @ 1:37 PM