MOHD Ajib membantu jawatankuasa masjid menyediakan menu siakap tiga rasa untuk golongan asnaf. FOTO ihsan Jawi
MOHD Ajib membantu jawatankuasa masjid menyediakan menu siakap tiga rasa untuk golongan asnaf. FOTO ihsan Jawi
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Hidang siakap tiga rasa kepada asnaf. Itu inisiatif Dapur It'am Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) bagi menyantuni golongan memerlukan.

Dalam majlis yang diadakan hari ini, asnaf di sekitar kariah Masjid Al-Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan disajikan dengan menu berkenaan sebagai juadah istimewa.

Pengarah Jawi Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, lebih 200 kilogram menu hidangan berkenaan disediakan sebagai menu makanan tengah hari.

Katanya, ia adalah juadah istimewa yang dimasak secara bergotong royong oleh jawatankuasa masjid berkenaan.

"Ia sebahagian dari aktiviti Dapur It'am JAWI dan MAIWP berkonsepkan 'soup kitchen' dan edaran makanan percuma setiap hari membabitkan 70 masjid dan surau di Wilayah Persekutuan.

"Turut diagihkan ikan siakap segar dan barangan keperluan asas harian.

"Menu ini dipilih kerana beberapa hari ini ramai yang bercakap mengenai siakap viral (tular), siakap kayangan dan macam-macam lagi. Jadi secara tidak langsung, kita tunjukkan juga bahawa ia boleh dinikmati oleh semua," katanya.

Beliau berkata, sejak dimulakan ketika awal tempoh pandemik melanda negara, lebih sejuta individu menerima manfaat daripada inisiatif Dapur It'am dengan kos berjumlah RM16 juta.

Mereka terdiri daripada petugas barisan hadapan, petugas kebersihan, pemandu e-hailing, asnaf dan golongan B40, kejiranan bukan muslim serta golongan yang terkesan dan memerlukan di sekitar Wilayah Persekutuan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 3:15 PM