Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Negeri Kedah merampas 90 kilogram (kg)  kuda laut bernilai RM180,000 ke negara Thailand tanpa dokumen sah melalui laluan penumpang (eksport)  di Bukit Kayu Hitam Rabu lalu. FOTO Ihsan Maqis
Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Negeri Kedah merampas 90 kilogram (kg) kuda laut bernilai RM180,000 ke negara Thailand tanpa dokumen sah melalui laluan penumpang (eksport) di Bukit Kayu Hitam Rabu lalu. FOTO Ihsan Maqis
Muhaamad Hafis Nawawi


Bukit Kayu Hitam: Cubaan membawa 90 kilogram (kg) kuda laut bernilai RM180,000 ke negara Thailand tanpa dokumen sah melalui laluan penumpang (eksport) gagal selepas ditahan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kedah Rabu lalu.

Dalam operasi jam 4 petang itu, Maqis Kedah dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Perikanan Negeri Kedah dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia di laluan penumpang (eksport) menggagalkan cubaan membawa keluar kuda laut ke negara Thailand tanpa dokumen yang sah.

Pengarah Maqis Kedah, Hisham Abu Bakar berkata, hasil pemeriksaan bersama yang dilakukan, mendapati sebanyak 90 kg kuda laut yang dianggarkan bernilai sebanyak RM180,000 tanpa sebarang dokumen yang sah, iaitu tanpa Permit Eksport daripada Maqis.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 11(2), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 11(3) akta yang sama.

"Tindakan penguatkuasaan undang-undang melalui operasi bersama agensi akan terus diperkasakan bagi memastikan tumbuhan, karkas, ikan dan hasilan pertanian bebas daripada ancaman perosak dan penyakit berjangkit serta mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2023 @ 8:47 AM