AYAM sejuk beku yang gagal diseludup. FOTO Ihsan Maqis
AYAM sejuk beku yang gagal diseludup. FOTO Ihsan Maqis
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup lebih 25 tan keratan ayam sejuk beku dianggar bernilai lebih RM180,000 dari negara jiran.

Jurucakap Maqis Kedah berkata, lori kontena membawa keratan ayam itu ditahan dalam pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, pada 1.11 tengah hari, semalam.

Katanya, pemeriksaan mendapati keratan ayam itu cuba dibawa masuk dengan mengemukakan maklumat tidak tepat dan dokumen yang mengelirukan iaitu tarikh sembelihan pada sijil dan produk adalah tidak sama.

"Kegagalan mengemukakan maklumat yang tepat atau mengelirukan adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau keduanya sekali," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya memberi amaran tegas kepada mana-mana pengimport supaya sentiasa mematuhi syarat import yang telah ditetapkan atau bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang.

Katanya, MAQIS sentiasa giat melakukan pemeriksaan di pintu masuk negara bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan terjamin serta keselamatan makanan terpelihara dan status halal tidak meragukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 3:32 PM