ANTARA warga asing yang diperiksa dalam Op Taring Nyah II di Pasar Borong Kuala Lumpur. FOTO Ihsan Polis
ANTARA warga asing yang diperiksa dalam Op Taring Nyah II di Pasar Borong Kuala Lumpur. FOTO Ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seramai 106 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dalam serbuan Op Taring Nyah II di Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini, awal pagi tadi.

Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Senior Asisten Komisioner Zulkifli Jonit berkata, pihaknya membuat serbuan itu bersama Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Kuala Lumpur serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) jam 4.30 pagi tadi.

"Hasil pemeriksaan dilakukan, kami menahan 106 Pati termasuk tiga wanita yang tidak mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada 46 warga Myanmar, 28 warga Indonesia, 19 warga Bangladesh dan 13 warga India," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zulklifi berkata, tiada sebarang rampasan barangan peribadi terhadap pati yang ditahan dalam serbuan berkenaan.

"Semua Pati memberikan kerjasama baik sepanjang serbuan dilakukan dan tiada sebarang pergelutan dilaporkan.

"Kesemua Pati yang ditahan diserahkan kepada pihak JIM untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1), Seksyen 15(4), Seksyen 15(1)(c) akta sama dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus menjalankan operasi berkenaan pada masa akan datang.

"Orang ramai dialu-alukan bagi memberikan maklumat berhubung kegiatan mencurigakan atau kehadiran Pati di kawasan masing-masing untuk tindakan lanjut.

"Polis akan menjalankan tugas dan tanggungjawab bagi menjaga serta mengawal keselamatan serta ketenteraman awam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2023 @ 7:52 PM