MESYUARAT Khas Majlis Raja-Raja hari ini memilih Yang di-Pertuan Agong ke-17. FOTO Bernama
MESYUARAT Khas Majlis Raja-Raja hari ini memilih Yang di-Pertuan Agong ke-17. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Kali Ke-263 (Khas) bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-17 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Mesyuarat yang bermula 10.10 pagi itu dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan semua Raja-Raja Melayu, kecuali Kelantan dan Perlis.

Raja-Raja Melayu yang berangkat ialah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut berangkat Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Terdahulu, sejurus ketibaan, Raja-Raja Melayu merakamkan gambar kenang-kenangan sebelum memulakan mesyuarat dan proses pemilihan dijalankan.

Mesyuarat khas itu berakhir kira-kira sejam kemudian dan keputusan pemilihan dijangka diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja petang ini.

Pemilihan itu diadakan susulan tempoh lima tahun penggal pemerintahan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, bakal tamat pada 30 Januari tahun depan.

Al-Sultan Abdullah melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari 2019 setelah dipilih pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja pada 24 Januari tahun sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 12:23 PM