Kenderaan rasmi yang membawa Al-Sultan Abdullah yang terkahir keluar dari pintu utama Istana Negara selepas menghadiri mesyuarat khas memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong . FOTO Mohd Yusni Ariffin
Kenderaan rasmi yang membawa Al-Sultan Abdullah yang terkahir keluar dari pintu utama Istana Negara selepas menghadiri mesyuarat khas memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong . FOTO Mohd Yusni Ariffin
Meor Riduwan Meor Ahmad


LAPAN Raja-Raja Melayu berangkat pulang meninggalkan Istana Negara selepas menghadiri mesyuarat khas Majlis Raja Raja bagi memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 untuk tempoh lima tahun.

Keberangkatan pulang Raja-Raja Melayu didahului Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin yang turut mempengerusikan mesyuarat khas itu tepat jam 12.45 tengah hari.

Ia diikuti Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir; Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar; Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Sultan Kedah, Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Sementara itu, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah terakhir berangkat meninggalkan Istana Negara jam 12.59 tengah hari.

Baginda kelihatan ceria dan tersenyum di dalam kenderaan diraja yang cerminnya dibuka separuh sambil melambai tangan kepada pengamal media di kiri dan kanan jalan.

Mesyuarat khas Majlis Raja-Raja itu diadakan susulan peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 6 Januari lalu.

Bagaimanapun Sultan Muhammad V tidak berangkat ke mesyuarat khas itu.

Setakat ini media masih menunggu kenyataan rasmi daripada Istana Negara mengenai keputusan mesyuarat khas itu.

Sementara itu Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad dijangka akan mengeluarkan kenyataan rasmi petang ini.

Mesyuarat khas berkenaan dipengerusikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bermula jam 11.12 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 1:33 PM