Nurul Hidayah Bahaudin dan Nur Elysa Amirah Suhaimi


Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) mengambil tindakan tegas terhadap pemilik dan ejen hartanah yang dipercayai bersekongkol dengan sindiket pusat panggilan (calling centre).

Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya berusaha membanteras operasi pusat panggilan secara drastik memandangkan kewujudannya sudah seperti cendawan tumbuh selepas hujan di negara ini.

"Kita akan bertindak lebih tegas kepada pemilik dan ejen yang tidak seharusnya tamak apabila menawarkan harga dua kali ganda terhadap premis dan kediaman yang disewa.

"Mereka perlu bertanggungjawab dengan sifat tamak dan alasan tidak munasabah yang merugikan orang ramai kerana kita mempunyai liabiliti undang-undang.

"Sebagai contoh, seramai 20 penghuni dalam satu premis, mana mungkin tidak ada berlaku apa-apa aktiviti yang dilakukan.

Ramli berkata, berlaku peningkatan kes penipuan melalui sindiket pusat panggilan pada tahun ini berbanding dua tahun sebelumnya

"Seramai 791 tangkapan dibuat ke atas warga tempatan dan 369 warga asing dengan kerugian RM 883,967 dan hampir 10 ribu peranti dirampas.

"Berbanding sebelumnya mencatatkan 643 pada tahun lalu dan 332 jumlah kes tangkapan pada 2021.

"Mereka boleh dituduh di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas penipuan atau 34 Kanun Keseksaan dan 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat," katanya.

Menurutnya, orang ramai harus berwaspada dengan taktik "scammer" yang menjadi trend seiring dengan kemajuan teknologi dan tidak hanya bergantung kepada penguatkuasa semata-mata.

"Masyarakat harus cakna dengan maklumat yang disampaikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan pelbagai medium penyampaian.

"Jangan berkongsi maklumat perbankan kepada pihak ketiga yang tidak dikenali dan hubungi talian 997 di bawah Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dalam tempoh 24 jam jika anda salah seorang mangsa penipuan dalam talian," katanya dalam sidang media hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2023 @ 4:25 PM