PENGARAH JSJK Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf. FOTO Rohanis Shukri
PENGARAH JSJK Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf. FOTO Rohanis Shukri
Suhanna Iskandar


Kuala Lumpur: Polis menerima 57 laporan berkaitan penipuan pelaburan yang mempunyai kaitan dengan syarikat Giganation GIB Berhad membabitkan kerugian RM3.9 juta setakat ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sindiket penipuan itu yang beroperasi sejak 2017 aktif menipu dengan menawarkan pelaburan pulangan tinggi melalui Facebook (FB) dan ejen syarikat.

"Syarikat ini menjalankan perniagaan pembangunan hartanah, pembangunan tanah pertanian, pembangunan aset dan pengurusan liabiliti.

"Mangsa dipujuk untuk melaburkan wang dalam bidang hartanah dan dijanjikan keuntungan RM540 setiap 45 hari dan setiap 60 hari," katanya pada sidang media di pejabat JSJK, di sini, hari ini.

Ramli berkata, kebanyakan mangsa hanya menerima pulangan dividen dalam satu atau dua bulan pertama saja tetapi selepas itu mereka tidak lagi dibayar.

"Kami sudah menahan tiga pengarah syarikat itu yang berusia antara 49 hingga 57 tahun pada 7 Disember lalu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 5:18 PM