SERANGAN udara yang dilancarkan rejim zionis di Gaza. FOTO Ihsan Dr Khaleel Ataallah
SERANGAN udara yang dilancarkan rejim zionis di Gaza. FOTO Ihsan Dr Khaleel Ataallah
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Serangan udara rejim zionis Israel di Semenanjung Gaza menyebabkan 192 penduduk Palestin syahid setakat ini.

Mangsa yang terkorban itu termasuk 58 kanak-kanak dan 34 wanita manakala lebih 1,253 orang awam tercedera akibat bedilan bom zionis.

Wartawan yang juga pensyarah pengajian media di Universiti Islam Gaza, Dr Khaleel Ataallah berkata, data keadaan semasa menunjukkan lebih 90 peratus syahid adalah orang awam yang tidak bersenjata.

"Lebih 30 peratus yang syahid itu pula adalah membabitkan mangsa dalam kalangan wanita dan kanak-kanak.

"Pengeboman yang dilancarkan Israel berlaku hampir 20 kali pada setiap minit. Keadaan ini juga menyebabkan lebih 200,000 kanak-kanak menderita panik," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

KEMUSNAHAN yang turut meragut nyawa orang awam di Gaza akibat kekejaman zionis Israel. FOTO Ihsan Dr Khaleel Ataallah
KEMUSNAHAN yang turut meragut nyawa orang awam di Gaza akibat kekejaman zionis Israel. FOTO Ihsan Dr Khaleel Ataallah

Beliau berkata, rejim zionis juga mensasarkan serangan bagi memusnahkan bangunan menempatkan kediaman penduduk termasuk 300 pangsapuri.

Menurutnya, pihak Israel turut bertindak menyasarkan serangan terhadap dua menara iaitu Al-Jalaa dan Al-Shrouq yang menempatkan beberapa institusi media tempatan dan antarabangsa.

"Serangan Israel terhadap media itu untuk memastikan kezaliman rejim zionis dihalang daripada tersebar ke seluruh dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 5:24 PM