IHSAN Bomba dan Penyelamat Malaysia
IHSAN Bomba dan Penyelamat Malaysia
Mohd Hafizee Mohd Arop


PEMANDU dan lima pemumpang bas ekspres cedera selepas bas membawa 42 penumpang itu merempuh belakang treler membawa muatan habuk kayu.

Baki 37 penumpang dan pemandu kedua bas tidak mengalami kecederaan, dalam kemalangan di KM249.6 lebuh raya PLUS arah selatan, dekat Kuala Kangsar, 3.30 pagi ini.

Difahamkan, pemandu dan kelindan juga tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.44 pagi.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar dan bantuan dari BBP Meru Raya bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba pihaknya mendapati kemalangan itu membabitkan bas ekspres dua tingkat dengan treler 25 tan membawa muatan habuk kayu.

Menurutnya, bas itu dipercayai merempuh belakang treler yang diletakkan di kiri jalan berhampiran susur keluar Kawasa Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak.

“Anggota mendapati enam orang iaitu lima penumpang dan pemandu bas cedera sudah dibawa keluar dari bas oleh orang awam sebelum dibawa ke hospital menggunakan ambulans.

“Anggota kemudiannya bertindak membantu mengeluarkan seorang mangsa yang terselamat dan OKU cacat penglihatan keluar dari bas menggunakan tangga kecemasan,” katanya.

Menurutnya, bas dari Kangar ke Klang itu dipercayai tidak menyedari treler diletakkan di tepi jalan menyebabkannya merempuh bahagian belakang treler.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 8:21 AM