KEADAAN kedua-dua kenderaan yang terbabit kemalangan.
KEADAAN kedua-dua kenderaan yang terbabit kemalangan.
Juwan Riduan


Penampang: Perjalanan pulang suami isteri selepas menghadiri sambutan ulang tahun kelahiran keluarga, berakhir tragedi apabila kedua-dua maut dalam kemalangan di Jalan Pintas dekat pusingan U, Padimas Point, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 6.50 petang itu, pasangan berusia lingkungan 60 tahun yang tersepit di tempat duduk kereta Proton Saga disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, kemalangan membabitkan kenderaan pacuan empat roda dan Proton Saga.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati pemandu pacuan empat roda lelaki dari arah Kota Kinabalu menuju ke Donggongon disyaki merempuh Proton Saga yang dipercayai membuat pusingan U.

"Akibat rempuhan itu, pemandu dan penumpang Proton Saga disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Queen Elizabeth (HQE).

"Pemandu pacuan kenderaan pacuan empat roda pula parah dan dihantar ke HQE Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke HQE I, Kota Kinabalu untuk bedah siasat.

"Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Pihak polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan," katanya.

Dalam pada itu, Sammy berkata, pihaknya menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati di jalan raya dan meminta supaya tidak menularkan gambar mangsa kemalangan bagi menjaga sensitiviti keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2023 @ 11:22 PM