FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Seramai 15 individu termasuk empat pelajar ditahan polis ketika sedang leka berparti di sebuah unit kondominium di Seksyen 7, di sini awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pihaknya menerima aduan mengenai sebuah unit di kondominium mewah itu mengadakan 'private party' sebelum pemeriksaan dilakukan kira-kira jam 1.30 pagi.

Katanya, hasil siasatan dan pemeriksaan pematuhan secara menyeluruh di alamat terbabit didapati parti persendirian sedang berlangsung.

"Susulan itu, 15 individu termasuk empat wanita berusia 16 hingga 20 tahun ditahan. Turut ditahan adalah penganjur parti terbabit.

"Semasa serbuan, kesemua suspek sedang duduk malah ada yang dalam keadaan khayal dipercayai dalam pengaruh dadah serta keletihan selepas berparti sejak jam 9 malam.

"Difahamkan seorang daripada suspek menyewa unit kondominium berkenaan dengan kadar RM200 satu malam dan berhubung dengan suspek lain mengenai parti itu menerusi aplikasi WeChat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas satu paket dadah disyaki ganja dengan anggaran berat 2.3 gram di lokasi kejadian.

Katanya, kesemua mereka dikompaun RM2,000 seorang kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mengikut Seksyen 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPPB) 1988 atas kesalahan menghadiri aktiviti berkumpul dengan kehadiran yang ramai sehingga sukar untuk melaksanakan penjarakan fizikal.

Baharudin berkata, kesemua suspek kemudian dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Shah IPD Shah Alam untuk menjalani ujian saringan air kencing.

"Hasil ujian saringan awal mendapati seramai lapan suspek lelaki positif dadah THC, Amphetamine, Methamphetamine dan Benzo.

"Tiga daripada suspek juga didapati mempunyai rekod kesalahan jenayah dadah.

"Kesemua suspek direman tiga hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a)

Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 5:32 PM