Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Usaha membasmi kemiskinan dilaksanakan kerajaan memberikan petunjuk positif apabila kadar miskin tegar di negara ini menunjukkan penurunan kepada 19,337 isi rumah, setakat September lalu.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, data eKasih menunjukkan sebanyak 110,663 isi rumah miskin tegar direkodkan sehingga 30 September lalu berbanding kira-kira 130,000 pada Februari lalu.

"Keberkesanan program pembasmian kemiskinan ini juga boleh dilihat dari aspek penurunan dalam kadar pengangguran nasional.

"Ini kerana peserta program yang menyertai pasaran buruh turut menyumbang kepada penurunan kadar pengangguran nasional kepada 3.4 peratus pada suku kedua tahun 2023 berbanding 3.9 peratus pada suku kedua tahun 2022," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) yang mahu mengetahui ketercapaian sasaran kementerian dengan

kerjasama Pihak Berkuasa Koridor, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri, Unit Perancang Ekonomi Negeri dan pejabat daerah dalam usaha membasmi isi rumah miskin tegar bagi golongan B40.

Mengulas lanjut, Hanifah berkata, penting semua pihak pelbagai peringkat menggembleng segala sumber yang ada bagi memastikan usaha menoktahkan kemiskinan dapat dilakukan serta mengelak golongan sasar kembali kepada status sama.

"Usaha untuk membantu isi rumah miskin tegar untuk keluar daripada kemiskinan akan terus dipergiat melaluipewujudan pelbagai peluang pekerjaan dan pengukuhan perlindungan sosial.

"Selain itu, kita melaksanakan satu ekosistem program dengan memberikan penekanan kepada pelaksanaan intervensi dan program berdasarkan template, pengurusan program secara berkumpulan serta pengurusan risiko operasi dan perniagaan golongan sasar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2023 @ 6:37 PM