Norzamira Che Noh


Shah Alam: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas lima pertuduhan membuat tuntutan palsu Program Penjana Kerjaya 2.0 dan 3.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bernilai RM87,500.

Tertuduh, Raymond Sim, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut kertas pertuduhan, bapa kepada seorang bayi itu didakwa memberikan suatu dokumen iaitu Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama Minbot Sdn Bhd bagi menuntut insentif untuk dua siri Program Penjana Kerjaya berjumlah keseluruhan RM87,500 kepada tiga pegawai perkhidmatan pekerjaan Perkeso bagi nama pekerja baharu sedangkan senarai pekerja yang dinamakan dalam dokumen berkenaan bukan pekerja syarikat miliknya.

Dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai butir matan palsu atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Raymond didakwa melakukan kesalahan itu di dua cawangan pejabat Perkeso di Petaling Jaya dan Klang antara 9 Mac hingga 11 November 2021.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta membenarkan kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 28 Februari depan.

Sebelum ini pada 26 Januari lalu, Raymond yang juga pemilik sebuah lagi syarikat, Fireshot Marketing Sdn Bhd mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insentif di bawah program sama berjumlah RM153,200.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu antara 3 Jun hingga 15 September 2021 di pejabat Perkeso Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan menyerahkan dokumen palsu mengandungi butiran nama pekerja baharu sedangkan senarai pekerja yang dikemukakan itu bukan pekerja syarikat berkenaan.

TERTUDUH di Mahkamah Sesyen  Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
TERTUDUH di Mahkamah Sesyen Shah Alam. FOTO Faiz Anuar

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2023 @ 1:20 PM