GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Suharmin Yusuf

Kuala Lumpur: Penjawat awam menzahirkan harapan tinggi terhadap pembentangan Belanjawan 2024 yang diumumkan esok.

Guru, Norsyafifi Abi, 34, berkata, dia berharap kerajaan mewujudkan elaun tambahan khusus kepada penjawat awam.

"Sebagai guru, perkara paling utama yang menjadi harapan ialah memastikan kos sara hidup tidak terlalu tinggi.

"Hal ini kerana guru mempunyai banyak komitmen dan peningkatan kos sara hidup ketika ini menyebabkan ramai terbeban," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia juga mengharapkan kerajaan mempertimbangkan kenaikan gaji dan pemberian bonus kepada kakitangan awam.

"Ini selaras dengan keadaan ekonomi semasa yang semakin mencabar," katanya.

Berkongsi pandangan sama, anggota tentera, Muhd Alif Daniel, 23, berkata, kerajaan sepatutnya mengkaji semula pelarasan gaji minimum.

"Kerajaan perlu naikkan sedikit kadar gaji mengikut pangkat dan memberi fokus kepada sektor pertahanan kerana kami adalah barisan hadapan.

"Ditambah pula dengan isu harga barang sekarang, saya rasa gaji minimum sekarang tidak cukup untuk menyara hidup," katanya.

Kakitangan awam yang mahu dikenali sebagai Ridzuan, 40, berkata, sektor perkhidmatan awam perlu diberi perhatian dalam Belanjawan 2024 kerana ia adalah penentu hala tuju bagi keseluruhan ekonomi negara.

"Kerajaan perlu pertimbangkan keadaan ekonomi semasa. Gaji penjawat awam seharusnya relevan dengan kos sara hidup sekarang.

"Selain itu, keperluan kumpulan pelaksana dan sokongan juga perlu diteliti lebih mendalam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2023 @ 4:43 PM