Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan memeriksa perbarisan pada Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Angkatan Tentera Malaysia Tahun 2022 di Kem Perdana Sungai Besi. FOTOBERNAMA
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan memeriksa perbarisan pada Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Angkatan Tentera Malaysia Tahun 2022 di Kem Perdana Sungai Besi. FOTOBERNAMA
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menyempurnakan Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Keberangkatan tiba baginda pada 9 pagi disambut Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Turut hadir menyambut keberangkatan tiba baginda ialah Timbalan Panglima Tentera Darat (PTD) Leftenan Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman, Panglima Tentera Udara (PTU) Jeneral Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan, Panglima Tentera Laut (PTL) Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Naib Canselor Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM) Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah.

Seramai 643 Pegawai Kadet ATM dari empat kolej perkhidmatan iaitu Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Akademi Tentera Darat (ATD), Kapal Diraja Sultan Idris Pertama (KDSI) dan Akademi Tentera Udara (ATU) terbabit dalam istiadat perbarisan di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, di sini.

Dalam istiadat itu turut diadakan penyampaian Anugerah Pedang Kehormat berserta piala kepada tujuh Pegawai Kadet terbaik bagi setiap perkhidmatan.

Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet ATM yang diadakan secara tahunan tidak dilaksanakan sejak dua tahun lalu berikutan pandemik Covid-19 melanda negara.

Istiadat perbarisan secara gabungan juga kali kedua diadakan sejak kali pertama dilaksanakan pada 2019.

Sementara itu, Tengku Hassanal turut berkenan mengurniakan watikah tauliah kepada 416 Pegawai Kadet TDM, 101 Pegawai Kadet TLDM dan 126 Pegawai Kadet TUDM yang berlangsung di Dewan Tun Templer, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2022 @ 12:15 PM