MOHD Khairul Adib berucap ketika Majlis Pelancaran Buku Koleksi Teks Ucapan & Coffe Table KPPA dan Sesi Town Hall bersama sama warga universiti awam dan pelajar tajaan JPA di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, UKM, Bangi. FOTO Azhar Ramli
MOHD Khairul Adib berucap ketika Majlis Pelancaran Buku Koleksi Teks Ucapan & Coffe Table KPPA dan Sesi Town Hall bersama sama warga universiti awam dan pelajar tajaan JPA di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, UKM, Bangi. FOTO Azhar Ramli
Saiful Haizan Hasam

Bangi: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang memperhalusi data penjawat awam yang masih enggan menerima vaksin Covid-19 sebelum membuat keputusan mengenai tindakan lanjut ke atas mereka.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata, pihaknya sudah meminta laporan daripada ketua-ketua jabatan berhubung isu itu bagi mendapatkan jumlah sebenar penjawat awam yang menolak vaksin.

Katanya, selain itu pihaknya mahu mengetahui bagaimana ketua-ketua jabatan menangani segelintir penjawat awam berkenaan.

"Saya minta tempoh untuk melihat data-data yang ada sekarang, kita tengah memperhalusinya.

"Kita juga minta laporan ketua-ketua jabatan, ada dua perkara pertama bilangan yang belum vaksin dan kedua, bagaimana mereka menangani sebilangan yang belum vaksin.

"Dengan (mengambil kira) keperluan untuk mereka ini berterusan memberi perkhidmatan, mereka tak boleh duduk di rumah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas sesi Town Hall KPPA bersama warga universiti awam dan pelajar tajaan JPA di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.

Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2021 dikeluarkan JPA pada 18 Oktober lalu, menetapkan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan boleh diambil terhadap penjawat awam yang tidak mematuhi arahan daripada ketua jabatan untuk mendapatkan dos vaksin Covid-19 selepas 1 November lalu.

Mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (PU(A) 395/1993), antara bentuk hukuman tatatertib boleh dikenakan kepada pegawai awam yang didapati melakukan kesalahan antaranya ialah amaran, denda, dilucut hak emolumen, ditangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat atau dibuang kerja.

Penjawat awam juga berdepan hilang kelayakan untuk dipertimbang kenaikan pangkat bagi tempoh tertentu mengikut jenis hukuman seperti amaran (12 bulan), denda (18 bulan) dan dilucut hak emolumen (24 bulan).

Mereka juga boleh ditangguh pergerakan gaji (30 bulan), turun gaji (36 bulan) dan turun pangkat (48 bulan).

Sementara itu, Mohd Khairul Adib berkata, JPA akan menggiatkan usaha untuk mendigitalkan perkhidmatan awam selaras dengan keperluan semasa, perkembangan teknologi dan pengharapan rakyat.

Menurutnya, pendigitalan itu amat penting bagi membolehkan perkhidmatan kerajaan dapat terus diberikan tanpa mengira keadaan sebagaimana perkhidmatan secara dalam talian yang diberikan sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

"Teknologi yang ada membolehkan kita berterusan menyampaikan perkhidmatan dan ada banyak lagi selepas ini yang kita perlu lihat sebagaimana diumum oleh kerajaan melalui Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu).

"Kita (JPA) akan bergerak dengan lebih pantas untuk mendigitalkan perkhidmatan awam kerana dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), pelaburan paling tinggi ialah dalam teknologi 5G.

"Ini menunjukkan kerajaan serius untuk memastikan teknologi maklumat (IT) terus bergerak ke hadapan dan perkhidmatan kita juga akan mengikut teknologi yang ada," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Khairul Adib menegaskan pendigitalan perkhidmatan awam tidak bermakna jumlah kakitangan kerajaan akan dikurangkan.

"Di belakang pendigitalan, kita masih memerlukan penjawat awam seperti untuk menguruskan sistem IT, menilai dasar dan meneliti maklum balas.

"Dari segi perkhidmatan, ada yang tidak boleh disampaikan secara dalam talian seperti keselamatan dan kesihatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 4:30 PM