Syahira menunjukkan gambar arwah suaminya yang maut di baham harimau di Pos Pasik, di sini. FOTO Paya Linda Yahya
Syahira menunjukkan gambar arwah suaminya yang maut di baham harimau di Pos Pasik, di sini. FOTO Paya Linda Yahya
Paya Linda Yahya


Gua Musang: "Setiap hari anak tercari-cari ayahnya. Tapi saya hanya diam tak tahu nak cakap apa," kata Syahira Hamid, 20 iaitu isteri kepada pemuda Orang Asli yang maut dibaham harimau, pada Selasa minggu lalu.

Syahira ketika ditemui menceritakan dia masih trauma dengan kejadian yang berlaku kepada suaminya dan rasa tidak percaya kehilangan suami.

Katanya, agar sukar dia menerima kenyataan suaminya maut dibaham harimau ketika keluar menyumpit mencari rezeki untuk mereka sekeluarga.

"Semuanya berlaku dalam sekelip mata, dia keluar petang beritahu nak keluar menyumpit untuk dijadikan lauk kami sekeluarga.

"Namun, sehingga keesokan harinya suami tidak pulang. Lebih mengejutkan kejadian yang berlaku hanya kira-kira tiga kilometer (km) dari kampung kami," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Menurut Syahira, dia bersama dua anak perempuannya, Nur Haura Pisie dan Finka Pisie yang masing-masing berusia satu dan dua tahun, kini tinggal bersama ibu bapanya.

"Walau apa pun keadaan, saya perlu kuat untuk menjaga dua anak yang masih kecil dan membesarkan mereka sebaik mungkin.

"Nur Haura baru berusia dua tahun dan baru belajar bercakap, kerap kali memanggil ayahnya. Arwah juga sangat rapat dengan anak-anak" katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang pemuda Orang Asli suku kaum Temiar dari Kampung Sugi, Pos Pasik, dekat sini, maut dipercayai dibaham harimau ketika keluar menyumpit, Selasa minggu lalu.

Mayat Pisie Amud, 25, ditemukan penduduk kampung dengan cakaran haiwan liar itu di kepala dan badan, selain sebelah kaki kirinya sudah hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 10:38 AM