IBU mangsa memeluk erat anaknya selepas ditemukan bersembunyi di dalam tandas surau Kampung Pinang Jawa, Gita, Kuching awal pagi tadi. FOTO Ihsan JBPM
IBU mangsa memeluk erat anaknya selepas ditemukan bersembunyi di dalam tandas surau Kampung Pinang Jawa, Gita, Kuching awal pagi tadi. FOTO Ihsan JBPM
Norsyazwani Nasri

Kuching: Disangka melarikan diri ke dalam hutan, sebaliknya remaja lelaki bersembunyi dalam tandas surau di Kampung Pinang Jawa, Gita, di sini, hari ini selepas berselisih faham dengan ibunya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan remaja berusia 13 tahun itu pada 1.04 pagi.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya kemudian dihantar ke lokasi kejadian.

"Ibu remaja itu memaklumkan anakya lari ke dalam hutan selepas berlaku perselisihan faham, dan mangsa tidak membawa telefon bimbit.

"Keluarga mangsa dan penduduk kampung berusaha mencari di kawsan belukar yang dikatakan kali terakhir mangsa dilihat," katanya dalam kenyataan, di sini.

Menurutnya, selepas mencarinya, ibu mangsa membuat laporan di Balai Polis Gita.

Katanya, pasukan bomba membuat pencarian dalam radius 500 meter di kawasan belukar dan surau sebelum menemui remaja itu dalam tandas lelaki di surau itu dengan pintu dikunci dari dalam.

"Anggota bomba memujuk mangsa sebelum diserahkan kepada keluarga mangsa untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2023 @ 11:43 AM