LAPORAN portal Harian Metro mengenai lelaki mati dibunuh tiga lelaki di Alor Setar.
LAPORAN portal Harian Metro mengenai lelaki mati dibunuh tiga lelaki di Alor Setar.
Muhaamad Hafis Nawawi


PERSELISIHAN faham berkaitan urusan perniagaan menjadi punca seorang lelaki dibelasah tiga lelaki sebelum maut ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, semalam.

Mangsa berusia 40-an itu dikatakan dipukul ketiga-tiga lelaki itu di sekitar Alor Setar sebelum dihantar suspek pulang ke kediamannya di Jalan Telok Wanjah, Market Koboi.

Difahamkan, selepas menghantar mangsa ke rumahnya, tangan dan kaki diikat pada satu kerusi di kediaman itu sebelum ditampar seorang daripada suspek di hadapan keluarganya.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, siasatan awal polis setakat ini mangsa dibunuh kerana berlaku perselisihan faham berkaitan urusan perniagaan dengan suspek.

Menurutnya, susulan itu, setakat ini dua suspek sudah ditahan sementara seorang lagi sedang diburu bagi membantu siasatan.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan motif mangsa diperlakukan sedemikian masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Portal Harian Metro malam tadi melaporkan lelaki maut ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, dipercayai akibat dipukul tiga lelaki.

Mangsa dibawa ke HSB untuk menerima rawatan, namun dilaporkan meninggal dunia sekitar 6.45 petang.

Berita berkaitan

Mati dipukul tiga lelaki

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 2:49 PM