Sebahagian daripada 10 premis makanan dan lima gerai penjaja di kawasan sekitar Bukit Jambul, di sini, yang diperiksa dan diambil tindakan oleh Jabatan Perlesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berikutan pelbagai kesalahan. FOTO IHSAN MBPP

Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Tiga premis makanan di Bukit Jambul di sini, diberi notis penutupan sementara selama 14 hari kerana tidak patuh syarat lesen perniagaan, selain kotor.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam kenyataan berkata, premis itu dikesan dalam operasi yang dijalankan ke atas lima premis makanan dan lima gerai penjaja semalam.

Katanya, tiga daripada premis makanan diarah tutup sementara hingga 19 Oktober, manakala tindakan rampasan pula dibuat terhadap dua premis makanan dan dua penjaja.

"Sebanyak tiga premis dikompaun dan notis dikeluarkan menerusi operasi berkenaan," katanya.

Antara kesalahan dilakukan adalah penemuan najis tikus, lipas, perangkap minyak tidak diselenggara dan pekerja tidak mendapatkan suntikan anti-tifoid.

Ada peniaga tidak mempunyai lesen sah MBPP bagi menjalankan perniagaan serta meletak peralatan perniagaan hingga menghalang siar kaki.

Pemantauan dan penguatkuasaan tegas sentiasa dijalankan Jabatan Pelesenan MBPP bagi memastikan peniaga patuh peraturan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2023 @ 9:23 AM