AHMAD Dusuki (kiri) diarah fail pernyataan pembelaan dalam kes saman Fahmi. FOTO arkib NSTP
AHMAD Dusuki (kiri) diarah fail pernyataan pembelaan dalam kes saman Fahmi. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi hari ini mengarahkan penceramah bebas Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani memfailkan pernyataan pembelaannya selewat-lewatnya 20 Oktober ini untuk menjawab saman dikemukakan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu selaku plaintif memfailkan saman terhadap Ahmad Dusuki pada 5 September lalu, atas dakwaan memfitnah kononnya beliau memberikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang, Selangor.

Peguam Asheeq Ali Sethi Alivi yang mewakili Fahmi berkata, mahkamah turut mengarahkan plaintif memfailkan jawapan kepada pembelaan tersebut sebelum atau pada 17 November ini dan menetapkan 27 November untuk pengurusan kes selanjutnya.

"Writ dan tuntutan saman telah diserahkan kepada defendan (Ahmad Dusuki) dan memorandum kehadiran telah difailkan oleh defendan menerusi peguamnya dari Tetuan Srihana Mohamad & Partners," kata Asheeq Ali ketika dihubungi selepas pengurusan kes secara e-Review di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Nur Shasha Hidayah Nor Azahar hari ini.

Berhubung satu lagi kes saman terhadap pemilik akaun Facebook "N13 Kuang", Mohd Fauzan Madzlan membabitkan isu sama, Asheeq Ali berkata, mahkamah menetapkan 31 Oktober ini untuk pengurusan kes selanjutnya.

"Kami masih dalam proses untuk menyerahkan writ dan tuntutan saman terhadap defendan (Mohd Fauzan)," kata peguam itu.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Fahmi mendakwa kedua-dua defendan telah menyiarkan kata-kata fitnah yang mendakwanya menyalahgunakan tempat beribadah iaitu masjid bagi tujuan kempen pilihan raya dan bertindak bertentangan dengan titah dan perintah Sultan Selangor.

Beliau mendakwa kata-kata fitnah itu disiarkan di akaun Facebook milik Mohd Fauzan serta akaun Facebook dan Instagram milik Ahmad Dusuki pada 31 Julai lalu.

Menurut Fahmi, kenyataan fitnah itu tidak berasas dan pihak Majlis Agama Islam Selangor telah mengesahkan bahawa beliau sama sekali tidak memberikan ucapan berbaur politik seperti mana yang difitnah oleh defendan.

Plaintif turut mendakwa kenyataan fitnah itu dibuat bertujuan memburukkan nama baiknya demi mendapatkan publisiti murahan atau mewujudkan sensasi dalam arena politik negara selain menjejaskan reputasinya sebagai Ahli Parlimen dan Menteri Kabinet.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 3:07 PM