Faizul Azlan Razak

Kuala Terengganu: Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenaan menyempurnakan penanaman 3,000 pokok di sepanjang Pantai Batu Buruk ke Pantai Pandak di sini, hari ini.

Keberangkatan baginda disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu Dr Azman Ibrahim dan Ahli Dewan Pangkuan Diraja Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail.

Penanaman pokok dengan anggaran jarak sepanjang 11.3 kilometer (km) membabitkan kerjasama antara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM).

Sementara itu, Dr Azman berkata, kerajaan negeri menyambut baik usaha dilaksanakan dalam menyokong agenda nasional melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok menjelang 2025.

Beliau berkata, pokok memainkan pelbagai peranan penting antaranya mewujudkan keseimbangan antara kawasan hijau dan pembangunan fizikal di dalam kawasan MBKT.

"Penanaman pokok di kawasan bandar boleh menyeimbangkan kesan iklim dengan mengurangkan kepanasan dan meningkatkan kelembapan relatif.

"Penanaman pokok juga akan mewujudkan landskap yang cantik dan menarik serta secara tidak langsung dapat mempertingkatkan kualiti visual dan 'sense of place & imageability' bagi pelancong-pelancong ke Terengganu," katanya ketika berucap di Dataran Pantai Batu Buruk di sini.

Dr Azman berkata, kawasan penanaman pokok dipecahkan kepada tujuh zon dan antara spesies pokok teduhan yang dipilih adalah ketapang, rhu pantai, kelapa pantai dan ambang-ambang.

Beliau berkata, pemilihan pokok dari spesies ini dibuat berdasarkan peranannya sebagai lindungan semula jadi dan zon penampang bagi mengurangkan kemusnahan akibat kejadian alam.

"Penanaman pokok ini juga sebagai benteng untuk mengurangkan kesan pukulan ombak daripada laut di samping pokok-pokok ini dapat tumbuh dengan baik di kawasan pantai berpasir.

"Saya berharap kita sama-sama dapat menjaga kawasan serta pokok-pokok yang ditanam ini dengan baik terutamanya daripada segi kebersihan dan pemeliharaan agar ianya dapat dinikmati oleh generasi pada hari ini dan masa hadapan," katanya.

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenaan menyempurnakan penanaman 3,000 pokok di sepanjang Pantai Batu Buruk ke Pantai Pandak di sini, hari ini. FOTO GHAZALI KORI
Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenaan menyempurnakan penanaman 3,000 pokok di sepanjang Pantai Batu Buruk ke Pantai Pandak di sini, hari ini. FOTO GHAZALI KORI

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2023 @ 1:17 PM