Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Lima pasangan dicekup selepas disyaki berkhalwat dalam Ops Banteras yang diadakan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di sekitar bandar raya ini, malam semalam.

Mereka yang berusia 22 hingga 42 tahun dan terdiri daripada lima warga tempatan serta lima warga asing itu ditahan selepas didapati berada dalam bilik hotel secara berdua-duaan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata, operasi rutin yang bermula jam 11 malam dan tamat pada jam 3 pagi itu diadakan bertujuan untuk mencegah perbuatan maksiat yang menyalahi Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor.

Menurutnya, selain hotel, operasi yang disertai 18 pegawai dan anggota penguat kuasa JAINJ itu turut membuat pemeriksaan ke atas premis pusat urut.

"Usaha ini adalah usaha yang berterusan dan kenapa kami memilih untuk mengadakan operasi pada hari bekerja kerana kami ingin membuat pencegahan tidak hanya tertumpu pada hari-hari minggu atau hari bercuti sahaja.

"Ini bagi memberi kegerunan kepada masyarakat bahawa penguat kuasa tidak akan bertindak hanya pada waktu-waktu puncak sahaja, kita lazimkan tindakan ini supaya kegerunan ini memberikan amaran kepada diri kita semua bahawa perlakuan jenayah syariah amatlah ditegah dan mestilah dijauhi.

"Operasi seumpama ini akan diteruskan dan kita akan pergi ke mana-mana tempat walaupun tanpa aduan supaya pemerkasaan undang-undang syariah dan pencegahan jenayah syariah ini diteruskan pada setiap masa," katanya ketika mengetuai operasi itu.

Turut menyertai operasi itu, Pengarah JAINJ Jamaludin A Hamid.

Sepanjang operasi dijalankan, Mohd Fared turut menyampaikan nasihat awal kepada pasangan-pasangan yang ditahan.

Kelima-lima pasangan itu kemudiannya dibawa menaiki kenderaan JAINJ untuk tindakan selanjutnya termasuk membuat laporan polis dan proses jaminan.

Siasatan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.

Pada masa sama, Mohd Fared berkata, sejak Januari hingga akhir Ogos lalu sebanyak 1,525 operasi sudah dijalankan JAINJ dan berjaya menahan 568 pasangan.

Lima pasangan dicekup kerana disyaki berkhalwat dalam Ops Banteras diadakan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di sekitar bandar raya ini, malam tadi. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN
Lima pasangan dicekup kerana disyaki berkhalwat dalam Ops Banteras diadakan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di sekitar bandar raya ini, malam tadi. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2023 @ 3:56 PM