Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Mangsa banjir di negeri ini terus meningkat kepada 341 mangsa daripada 102 keluarga yang ditempatkan di lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Ketua Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, satu lagi PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Hijau di Pokok Sena yang menempatkan seramai 73 mangsa daripada 21 keluarga pada jam 2 pagi tadi.

Beliau berkata, setakat ini daerah yang terjejas banjir adalah di Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Pendang dan Kuala Muda.

"Bagaimanapun, daerah Pendang dan Kuala Muda tiada PPS dibuka.

"Setakat jam 11 pagi hari ini, PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun menempatkan seramai 150 mangsa daripada 43 keluarga manakala PPS di Dewan Kampung Tradisi di Changlun pula seramai 38 mangsa daripada 12 keluarga.

"PPS di Dewan Taman Seri Bagan di daerah Kota Setar pula menempatkan seramai 40 mangsa daripada 14 keluarga dan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Aman menempatkan 40 mangsa daripada 12 keluarga," katanya

Beliau berkata demikian ketika melakukan tinjauan di Sungai Anak Bukit, Taman Aman, di sini hari ini.

"Cuaca pada hari ini makin baik dan tiada hujan direkodkan ketika ini malah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) turut mengeluarkan notis amaran hujan ditamatkan.

"Jadi kita berharap cuaca akan berterusan dan air dapat bergerak ke arah laut sehingga situasi banjir dapat reda kembali," katanya.

Saifuddin berkata, berdasarkan jangkaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), air pasang besar dijangka berlaku pada 29 September ini sehingga 2 Oktober.

Beliau berkata, pihaknya berharap air banjir kilat ini surut sepenuhnya sebelum jangkaan air pasang berlaku yang menyebabkan paras ombak setinggi tiga meter.

"Sekiranya air banjir ini bertemu air pasang dari laut ia akan menyebabkan lebih banyak rumah ditenggelami air dan air lambat surut hingga mengakibatkan banjir termenung," katanya.

Penduduk Kampung Seberang Anak Bukit, Nisa Abdul, 52, berkata, air masuk ke rumahnya sangat deras dan cepat kerana rumahnya terletak kira-kira 50 meter dari Sungai Anak Bukit pada jam 7 petang, semalam.

Katanya, setakat ini air masih di paras lutut namun dia sudah bersedia mengemas barangan keperluan serta dokumen sekiranya perlu berpindah jika air belum surut.

"Saya tinggal dengan anak perempuan berusia 21 tahun di sini, mujur dia ada, dapatlah bantu saya angkat barang dalam rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2023 @ 12:09 PM
Kapten (PA) Saifuddin Abdullah menasihatkan penduduk Kampung Seberang Anak Bukit, Nisa Abdul selepas rumahnya di rumahnya dinaiki air. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Kapten (PA) Saifuddin Abdullah menasihatkan penduduk Kampung Seberang Anak Bukit, Nisa Abdul selepas rumahnya di rumahnya dinaiki air. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI