ADAM ketika mewakili kumpulannya menerima hadiah kumpulan yang aktif, saling bekerjasama dan bersemangat sepanjang Program Yayasan PETRONAS empower ECER Akademik.
ADAM ketika mewakili kumpulannya menerima hadiah kumpulan yang aktif, saling bekerjasama dan bersemangat sepanjang Program Yayasan PETRONAS empower ECER Akademik.

Berhasrat untuk menyambung pelajaran dalam bidang psikologi, anak kelahiran Johor, Muhammad Adam Harith Badrul Hisyam, 18, tidak menyangka dapat memperoleh semua A dalam sembilan mata pelajaran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang didudukinya awal tahun ini.

Berasal dari keluarga berpendapatan rendah, anak sulung daripada lima adik-beradik itu menganggap kejayaannya bukan ibarat mendapat durian runtuh, tetapi kunci utama pencapaiannya adalah hasil kerja keras, usaha yang berterusan serta komitmen yang tinggi.

Menurut bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ungku Husin, Endau, Johor itu, keputusan cemerlang yang diperoleh juga adalah hasil bimbingan berterusan yang diterima ketika mengikuti Program Yayasan PETRONAS empower ECER Akademik selama enam bulan.

"Pengurusan masa yang baik merupakan tip yang paling penting jika ingin berjaya. Cara terbaik dalam pengurusan masa bagi saya adalah dengan mempunyai jadual rutin harian yang lengkap kerana ia dapat membantu saya membahagikan masa antara mengulangkaji pelajaran, berehat serta membantu ibu saya menguruskan adik-adik di rumah.

"Tip yang kedua ialah membuat latihan soalan SPM tahun-tahun lalu dan bagi setiap kesilapan, saya mengambil inisiatif untuk memahami serta belajar daripada kesilapan tersebut," kata Adam yang mencuba lebih 50 kertas soalan SPM.

Mengulangkaji pelajaran setiap hari selepas waktu sekolah adalah tip ketiganya untuk berjaya.

Dengan merujuk kepada nota ringkas yang dibuat ketika sesi pembelajaran di kelas dapat membantunya menguasai setiap subjek diambil.

Tip beliau seterusnya adalah membuat persediaan awal sebelum kelas serta rajin bertanya dalam kelas.

"Sebelum menghadiri kelas, saya akan cuba mempelajari subjek mata pelajaran SPM melalui saluran di YouTube seperti saluran Cikgu Izu bagi mata pelajaran Sains, Cikgu Chong bagi mata pelajaran Matematik dan Cikgu Athirah bagi mata pelajaran Ekonomi.

"Dalam kelas pula, jika saya tidak memahami sesuatu topik saya akan terus bertanya kepada guru," kata Adam.

Consolidation skills method adalah tip terakhir yang dipraktikkan Adam dalam pembelajarannya. Teknik ini menggunakan konsep perbincangan dengan berkongsi pemahamannya bersama kawan-kawan mengenai sesuatu topik yang baharu dipelajari.

"Ia dapat membantu meningkatkan daya ingatan saya dan rakan-rakan serta membantu meningkatkan pemahaman terhadap ilmu yang kami pelajari," tambahnya.

Adam yang merupakan salah seorang pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Ungku Husin, Endau, Johor.

Menurut Adam lagi, dia mengaplikasikan tip berkenaan sejak menyertai Program Yayasan PETRONAS empower ECER Akademik.

Program berkenaan membantu pelajar SPM dari keluarga B40 sepertinya untuk meningkatkan prestasi akademik bagi mendapatkan peluang untuk melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

"Melalui program ini juga, saya dapat belajar untuk memberanikan diri dalam membuat keputusan, memberi ucapan di khalayak ramai, membahagikan masa, mengetahui kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman yang dihadapi serta berfikir secara rasional.

"Alhamdulillah, saya berjaya mendapat 9A dalam SPM dan saya berharap perkongsian tip pembelajaran saya ini dapat membantu ramai pelajar yang akan menduduki SPM untuk memperoleh kejayaan seperti saya, insya-Allah," kata Adam yang kini meneruskan pelajarannya di Kolej Matrikulasi Johor (KMJ).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2023 @ 8:05 AM