Polis sedang mengesan waris seorang mangsa kemalangan maut di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) yang ditemui tanpa sebarang pengenalan diri.
Polis sedang mengesan waris seorang mangsa kemalangan maut di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) yang ditemui tanpa sebarang pengenalan diri.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Ampang Jaya: Polis sedang mengesan waris seorang lelaki yang maut dalam kemalangan di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), berhampiran Pandan Indah, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, ia berikutan mangsa ditemui tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku jam 4.46 pagi.

"Mangsa berusia 40-an itu ditemui oleh pengguna jalan raya yang melalui lebuh raya berkenaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata, polis turut menemui beberapa barangan peribadi seperti dompet yang di dalamnya terdapat wang tunai dan sebuah telefon bimbit yang rosak.

Katanya, turut ditemui, sekeping gambar berukuran saiz pasport, dipercayai milik mangsa.

"Siasatan lanjut, mendapati kawasan kemalangan tidak dilengkapi dengan kamera litar tertutup.

"Polis kini sedang berusaha mengenal pasti identiti mangsa melalui cap jari bagi pemeriksaan biometrik," katanya.

Menurutnya, mangsa berkulit warna sawo matang serta memakai baju gelap dan berkain pelikat.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai mangsa atau waris boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Navine Gunasegaran di talian 012-6436327 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 6:52 PM