GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Melaka: Sebanyak 45 individu termasuk 15 wanita warga Thailand yang bekerja sebagai 'gadis kalung bunga', ditahan dalam serbuan Op Gegar di sebuah kelab malam di Taman Melaka Raya di sini, malam tadi.

Pengarah Imigresen Melaka Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, dalam serbuan pada 10.30 malam, kesemua wanita yang turut bekerja sebagai penari dan pelayan pelanggan (GRO) kelab itu ditahan kerana disyaki melanggar syarat pas atau permit, selain tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Wanita warga asing berkenaan dilaporkan menjadi 'gadis kalung bunga' untuk menarik pelanggan ke kelab malam tersebut dan bayaran antara RM200 hingga RM1,000 satu malam, dikenakan bagi melanggan GRO berkenaan.

"Semasa serbuan dijalankan, beberapa warga asing termasuk GRO berkenaan, bertindak cuba melarikan diri mengikut pintu belakang dan ada yang sedang leka berhibur sebelum kesemua mereka berjaya ditahan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anirwan Fauzee berkata, pihaknya turut menahan lima lelaki warga Bangladesh yang juga pekerja kelab berkenaan atas kesalahan sama, selain dua lelaki warga tempatan yang merupakan penjaga dan pengurus kelab malam tersebut.

Beliau berkata kesemua mereka, ditahan di bawah Seksyen 55B dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Anirwan Fauzee berkata, sebanyak 12 Borang 29 (saman saksi), juga telah dikeluarkan ke atas pelanggan bagi membantu siasatan lanjut.

Dalam pada itu, Anirwan Fauzee berkata, tindakan tegas akan dikenakan terhadap pemilik premis dan majikan, yang menggajikan warga asing tanpa dokumen perjalanan dan pas atau permit kerja yang sah, serta dengan sengaja memberi perlindungan pada warga asing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2023 @ 5:09 PM