SEBAHAGIAN wanita pelayan pelanggan yang ditahan di pusat hiburan di Bandaraya Melaka menerusi Op Gegar.  FOTO Ihsan JIM
SEBAHAGIAN wanita pelayan pelanggan yang ditahan di pusat hiburan di Bandaraya Melaka menerusi Op Gegar. FOTO Ihsan JIM
Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Sembilan wanita pelayan pelanggan (GRO) antara 106 pendatang tanpa izin (Pati) dicekup Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka menerusi serbuan di tiga lokasi di pusat bandar dan di Jasin bermula lewat malam hingga awal pagi tadi.

Difahamkan mereka bekerja sebagai GRO bebas yang mengenakan bayaran perkhidmatan antara RM400 hingga RM900 kepada pelanggan di kelab hiburan eksklusif.

Pengarah JIM Melaka Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, dalam serbuan pertama anggota operasi Bahagian Penguatkuasa memeriksa dua pusat hiburan di pusat di bandar raya ini kira-kira 11 malam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan menerusi serbuan Op Gegar itu anggota operasi menahan seramai sembilan wanita warga asing terbabit berusia antara 22 tahun hingga 37 tahun kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen (AI) 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Tujuh daripada mereka adalah wanita Vietnam ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan Seksyen 6(1)(c) AI 1959/63 apabila gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

"Sementara itu, dua wanita iaitu warga Thailand pula ditahan kerana disyaki melanggar Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan akta sama kerana salah guna pas.

"Ketika serbuan ada antara mereka cuba menyelinap untuk bersembunyi di bilik rahsia namun berjaya dikesan anggota operasi," katanya dalam kenyataan di sini, sebentar tadi.

Anirwan Fauzee berkata, menerusi Ops Sapu kira-kira jam 12 tengah malam pihaknya menyerbu satu lagi kawasan rumah kongsi di tapak pembinaan di Jasin, di sini.

Katanya, seramai 67 orang pegawai dan anggota JIM bertindak memeriksa 225 warga asing yang tinggal di rumah kongsi berkenaan.

"Hasil pemeriksaan kita menangkap 97 Pati terdiri daripada 93 lelaki dan empat wanita yang disyaki melakukan kesalahan mengikut AI 1959/63.

"Mengikut pecahan, 62 adalah lelaki warganegara Bangladesh dan 35 warganegara Indonesia terdiri daripada 31 lelaki dan empat wanita.

"Seramai 81 orang ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan Seksyen 6(1)(c) AI 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah, manakala 16 lagi ditangkap mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa," katanya.

Mengulas lanjut katanya, ketika serbuan terdapat Pati yang bertindak melarikan diri serta bersembunyi di dalam lori yang berada di kawasan pembinaan.

"Namun mereka berjaya ditahan oleh anggota operasi yang membuat kepungan di sekitar kawasan operasi.

"Operasi tamat pada jam 4 pagi dan semua tahanan dibawa ke Pejabat Imigresen Melaka di Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Ayer Keroh untuk siasatan lanjut," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2022 @ 4:32 PM