Redzuan Muharam

Muar: "Peringkat awal selepas hantar (anak) masuk madrasah memang saya 'koyak' hingga bengkak mata menangis macam hati dibawa pergi oleh anak namun Allah kuatkan hati untuk terima percaturanNya," kata Mohd Razak Hamzah, 48.

Beliau memberi reaksi itu ketika diminta menceritakan kisahnya yang menghantar dua anak, Muhammad Khairil Azim, 15, dan Muhammad Khairil Amjad, 12, ke madrasah diberi nama Maahad Tahfiz Al-Quran Norhakim, Parit Kassim, di sini.

Kisahnya itu mendapat perhatian selepas berkongsi video di TikTok.

Bercerita lanjut, Mohd Razak berkata, isterinya, Nurul 'Aini Nasir, 38, sudah lama menyimpan niat untuk menghantar anak ke madrasah bagi mendalami al-Quran dan menuntut ilmu agama.

"Sebenarnya sejak anak sulung lagi isteri sudah luahkan hasratnya cuma tak kesampaian ketika itu.

"Azim (Muhammad Khairil Azim) pula aktif dalam aktiviti kokurikulum di sekolah hingga cikgu pun sayang dengannya jadi agak berat untuk saya melepaskannya ke madrasah.

"Cuma, saya melihat ada perkara yang boleh mempengaruhinya ke arah negatif. Oleh itu saya jadi berubah fikiran dan terbuka hati menghantarnya masuk ke madrasah kerana perlu ada perancangan bagi mengelakkannya terjerumus lebih jauh.

"Harapannya supaya pusat itu dapat membantu Azim mendalami al-Quran, memperbaiki bacaan dan adabnya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Mohd Razak, perancangan asalnya adalah untuk menghantar Muhammad Khairil Azim saja ke madrasah.

Bagaimanapun, adiknya, Muhammad Khairil Amjad mahu ikut sama menyebabkan kedua-duanya dihantar ke madrasah pada 30 Mac tahun lalu.

Razak Hamzah (kanan) bersama  isteri dan anak mereka. FOTO Ihsan Mohd Razak Hamzah
Razak Hamzah (kanan) bersama isteri dan anak mereka. FOTO Ihsan Mohd Razak Hamzah

"Ketika hampir nak dekat hari hantar Azim ke madrasah, Amjad tiba-tiba menyatakan hasrat yang sama kerana kasihan kepada abangnya berseorangan tanpa kawan.

"Lagipun di rumah, mereka berdua kawan dan teman gaduh kerana abang mereka yang sulung sudah bekerja manakala kedua belajar di Tingkatan Empat.

"Jadi, kami menghantar kedua-duanya walaupun Amjad masih kecil serta nampak belum bersedia.

"Pada awalnya mereka (Azim dan Amjad) nampak macam tak nak balik ke madrasah apabila pulang cuti di rumah namun kini mereka sudah dapat sesuaikan diri malah aktif menyertai pertandingan qasidah serta program anjuran madrasah," katanya.

Menurut Mohd Razak, perkembangan positif itu memberi kelegaan buatnya dan berharap kedua anaknya menjadi al-hafiz satu hari nanti.

"Pada saya, anak saya sudah berjaya melalui fasa 'berpisah' dengan realiti kehidupan di luar untuk mendalami al-Quran.

"Azim sudah khatam al-Quran dan hafaz juzuk satu hingga empat manakala Amjad sudah beralih daripada Iqra ke al-Quran jadi saya berharap mereka jadi al-hafiz yang datang pakej dengan adabnya.

"Alhamdulillah, ramai beri kata semangat juga sokongan moral kepada saya dan isteri selepas berkongsi di TikTok dengan katakan anak kami saham akhirat serta kami pilih jalan yang betul.

"Cuma ada segelintir saja persoalkan mengapa anak nakal dihantar ke madrasah dan minta pantau pusat pengajian itu kerana dikhuatiri ada kes tidak baik tapi setakat ini anak saya dalam keadaan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2023 @ 1:11 PM