Nazdy Harun

Kuala Berang: "Ramadan tahun ini amat bermakna dalam kehidupan saya selepas tiga tahun berusaha untuk menghafaz 30 juzuk al-Quran," kata Muhammad Ammar Mohd Khairul Nizam, 17, pelajar Madrasahtul Quran Sahabat (MQS) dekat sini.

Menurutnya, dia memilih untuk melanjutkan pengajian di madrasah berkenaan dengan tujuan untuk mendalami ilmu al-Quran selepas tamat tahun enam di Sekolah Kebangsaan (SK).

Katanya, selepas berusaha bersungguh-sungguh akhirnya niatnya untuk menghafaz al-Quran akhirnya dimakbulkan Allah SWT.

"Alhamdulillah, Ramadan tahun ini merupakan tahun pertama saya mampu menguasai bacaan al-Quran tanpa menggunakan munsaf al-Quran.

"Seawal 4.45 pagi saya sudah bangun untuk menghafaz al-Quran dan selepas itu solat subuh berjemaah, manakala selepas solat saya meneruskan kelas bersama rakan lain.

"Dorongan kedua ibu bapa untuk melihat saya berjaya dalam bidang al-Quran menguatkan semangat saya untuk menguasai bacaan dari hari ke hari," katanya yang juga anak sulung daripada lima beradik.

Menurutnya, sebelum mengikuti pengajian di madrasah dia hanya mampu membaca al-Quran namun bacaannya banyak yang tersangkut.

Katanya, di madrasah jadual yang ditetapkan iaitu perlu mengikuti kelas bacaan sebelum melangkah kelas hafazan.

Muhammad Ammar berkata, tahun lalu dia pernah diberi amanah mengimamkan solat sunat tarawih dan ia merupakan pengalaman berharga buatnya.

Seorang lagi huffaz muda yang juga tenaga pengajar di madrasah berkenaan, Ahmad Nasrul Hafizul Ismail, 21, berkata, dia berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran ketika berusia 15 tahun.

"Niat saya tidak lain iaitu ingin menjaga al-Quran selain ingin menyebar kalam Allah itu kepada lebih ramai pelajar kerana jika terleka al-Quran yang dihafaz mudah terlepas dan dilupai.

"Di dalam keluarga, selain saya mampu menghafaz al-Quran, masing-masing dua abang dan kakak juga merupakan huffaz al-Quran," kata bekas pelajar Madrasah Lukmanul Hakim, Klang Selangor.

Menurutnya, dorongan kedua ibu bapanya menguatkan semangat untuknya bergelar seorang penghafaz al-Quran dan bagi dirinya tidak terlalu memikirkan soal gaji atau wang ringgit.

Katanya, dia lebih tenang dengan kehidupan di madrasah sebagai salah seorang tenaga pengajar kerana merasakan kehidupannya lebih tenang dengan mencurahkan ilmu al-Quran kepada pelajar.

Ahmad Nasrul yang berasal dari Kampung Danger, Besut berkata, selepas tamat pengajian negara ketika itu dilanda pandemik Covid-19 mendorongnya berehat seketika sebelum menyertai MQS sebagai tenaga pengajar.

"Selagi bernyawa saya akan terus menyebarkan ilmu al-Quran dan bagi saya dunia ini tiada apa untuk dikejar.

"Alhamdulillah, pengalaman yang ditimba sebelum ini dapat dimanfaatkan untuk dicurahkan kepada pelajar di MQS pula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2023 @ 11:03 AM
Muhammad Ammar Mohd Khairul Nizam, 17, (baju putih) memperdengarkan bacaan al-Quran kepada gurunya Ahmad Nasrul Hafizul Ismail, 21. FOTO NAZDY HARUN
Muhammad Ammar Mohd Khairul Nizam, 17, (baju putih) memperdengarkan bacaan al-Quran kepada gurunya Ahmad Nasrul Hafizul Ismail, 21. FOTO NAZDY HARUN