GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Aktiviti jenayah siber seperti penipuan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dijangka lebih meluas di negara ini apabila teknologi itu digunakan sepenuhnya dalam masa terdekat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Sri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, penipuan itu mungkin sudah berlaku di negara ini namun ia belum meluas.

"Menerusi teknologi AI penjenayah siber bertindak lebih ke hadapan apabila boleh menggunakan rakaman video atau gambar palsu 'deepfakes' berasaskan AI untuk membuat pemerasan dan panggilan palsu bagi mendapatkan wang dengan cara mudah.

"Bukan sahaja suara, malah video dan gambar juga boleh di olah menggunakan AI oleh pelaku untuk menipu mangsa. Mereka juga dikesan menggunakan teknik natural language (bahasa natural), gaya suara seseorang boleh ditiru dengan mudah, malah dalam apa bahasa sekalipun yang menggambarkan ia adalah suara 'mangsa'," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, keadaan ini berkemungkinan menyebabkan lebih ramai lagi masyarakat menjadi mangsa penjenayah siber ini sekiranya mereka tidak bersedia dan beradaptasi untuk menghadapi perubahan teknologi ini.

"Nasihat saya, jika dulu ada perumpamaan yang mengatakan 'jangan percaya apa yang kamu dengar, dan percaya separuh saja kepada apa yang kamu lihat'. Dalam dunia AI dan kemudian nanti teknologi kecerdasan umum buatan (AGI), falsafah kita hendaklah 'jangan percaya apa yang kita dengar dan jangan juga percaya apa yang kita lihat dalam media sosial. Kita perlu mengesahkan semua info sebelum menerimanya bulat-bulat," katanya.

Ramli berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini memberi kesedaran kepada masyarakat tentang potensi AI digunakan untuk tujuan jenayah.

"Justeru, masyarakat tidak boleh sekadar menerima apa-apa informasi melalui media sosial tanpa memikir sejenak akan kesahihannya.

"Umpamanya, gambar seseorang boleh dibuat dalam keadaan sedemikian yang boleh mendatangkan aib kepada wanita atau keluarganya apabila diugut oleh pelaku untuk menyebarkan kepada umum.

"Jika dulu gambar hanya di photoshop tetapi masih boleh dilihat dari kualiti dan proportion (kadar) yang tidak sama, kini satu gambar muka sahaja boleh digayakan dengan pelbagai pakaian (atau tanpa pakaian) yang boleh menyerupai mangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2023 @ 12:05 PM