GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kepesatan teknologi ditambah kemajuan pesat AI mewujudkan peluang kepada scammer melakukan pelbagai modus operandi bagi menjerat mangsa.

Malah menggunakan teknologi AI, scammer mampu meniru rupa, suara, gelagat dan apa sahaja untuk tujuan penipuan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, dalam kecanggihan dunia dalam talian disertai dengan kemajuan pesat AI, beliau nasihatkan masyarakat supaya jangan mudah terpedaya.

"Malah jangan percaya langsung. Semua maklumat memerlukan verifikasi dan tidak boleh diterima secara 'total'.

"Pada zaman dulu ada pendapat mengatakan 'jangan percaya kepada apa yang kamu dengar, percayalah separuh sahaja kepada apa yang kamu lihat," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dalam dunia sekarang, kedua-duanya perlu diragukan.

"Ini disebabkan kita tidak lagi ketahui sama ada apa yang kita lihat (secara dalam talian) itu benar.

"Dunia AI boleh meniru rupa, suara, gelagat dan apa sahaja untuk tujuan penipuan," katanya.

Ramli berkata, umpamanya, dengan teknik 'phising' nombor telefon beliau boleh ditiru kemudian menggunakan AI, suaranya juga boleh ditiru.

"Kedua ini digunakan oleh scammer untuk telefon kenalan mangsa dan melangsungkan perbuatan jenayah atas alasan meminjam wang dan sebagainya.

"Itu hanyalah senario, tetapi ia boleh berlaku dalam kepesatan teknologi AI sekarang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2023 @ 12:40 PM