AHMAD Ridhwan (kiri) menunjukkan senjata yang digunakan suspek dalam rusuhan di Bulatan Pulau Carey. FOTO Ihsan IPD Kuala Langat.
AHMAD Ridhwan (kiri) menunjukkan senjata yang digunakan suspek dalam rusuhan di Bulatan Pulau Carey. FOTO Ihsan IPD Kuala Langat.
Ruwaida Md Zain


Kuala Langat: Polis menahan 10 lelaki tempatan disyaki terbabit dalam kes merusuh di Bulatan Pulau Carey di Telok Panglima Garang, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, mereka diberkas dalam beberapa serbuan pada Ahad.

Katanya, penahanan suspek berusia 15 tahun sehingga 51 tahun, susulan laporan remaja lelaki berumur 16 tahun pada 11.30 malam, 2 Sept lalu.

"Mangsa mendakwa dipukul sekumpulan lelaki tempatan berpunca daripada penarikan kereta yang terbabit kemalangan di lokasi terbabit.

"Susulan itu, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor (IPK) Selangor melakukan operasi menangkap enam suspek di kawasan Banting," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata, soal siasat ke atas enam suspek itu membawa kepada tangkapan empat lagi suspek di kawasan Telok Panglima Garang.

"Empat daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan dadah, manakala saringan urin menunjukkan dua suspek positif methamphetamine dan ganja.

"Kesemua suspek direman tiga hari untuk siasatan Seksyen 148 Kanun Keseksaan," katanya yang meminta orang ramai tidak menyebar spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Abd Rahman 013-9789096.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2023 @ 7:03 PM